Orang-Orang Asing (Al-Ghurabaa')

ORANG-ORANG ASING (AL-GHURABAA’)
Abu Omar, Idris bin Sulaiman

Dakwah Islam ketika ia mula-mula disebarkan di kalangan masyarakat Arab Jahiliah di Mekah telah mendapat tentangan yang cukup hebat daripada orang-orang kafir Mekah. Agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah r dianggap sebagai suatu ajaran yang pelik lagi ganjil oleh orang-orang Arab Jahiliah ketika itu kerana ia bercanggah dengan apa yang menjadi pegangan dan fahaman yang mereka warisi daripada nenek moyang mereka.

Walaubagaimanapun, dengan izin Allah hasil usaha gigih Rasulullah r menyebarkan dakwah Islam dengan dibantu oleh Para Sahabat akhirnya agama Islam tersebar luas dan masyarakat Arab berduyun-duyun memeluk Islam khususnya sesudah pembukaan Kota Mekah pada tahun lapan Hijrah. Dakwah Islam terus tersebar dan berkembang sesudah kewafatan Baginda r sebagaimana yang dapat disaksikan dengan adanya pembukaan kota-kota Islam yang baru. Umat Islam pun terus berkembang dan bertambah sehinggalah seperti mana yang kita lihat pada hari ini.


Akan tetapi dalam masa yang sama, Rasulullah r dalam sebuah hadis menyatakan akan suatu hakikat pahit yang akan berlaku kepada agama Islam atau dengan lebih tepat ajarannya secara khasnya. Baginda r menyatakan bahawa ajaran Islam sebagaimana ia bermula dalam keadaan asing dan tidak dapat diterima oleh masyarakat ia akhirnya akan kembali begitu di akhir zaman. Dengan ertikata lain, bilangan umat Islam mungkin akan terus bertambah tetapi dalam masa yang sama umat Islam sedikit demi sedikit akan terus menyisihi ajaran Islam itu sendiri. Akhirnya ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah akan kembali menjadi asing kerana keadaan majoriti masyarakat Islam ketika itu yang berpegang kepada ajaran dan fahaman yang hakikatnya tidak menepati ajaran Islam yang sebenar manakala amal ibadah yang mereka kerjakan pula tidak menepati Sunnah Baginda r.

Hakikat ini disebutkan oleh Rasulullah r dalam sabdanya:
"بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ فَطُوبَى للغرباء"
"Agama Islam telah bermula dalam keadaan asing dan ia akan kembali seperti mana ketika ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing (Al-Ghurabaa’)." (Muslim)

Dalam riwayat lain, Baginda r ditanya: Siapakah mereka (orang-orang asing itu) wahai Rasulullah? Jawab Baginda:
" الَّذِينَ يُصْلِحُونَ إذَا فَسَدَ النَّاسُ "
"Mereka yang tetap berlaku baik ketika mana masyarakat sudah menjadi rosak.”
(Sahih. Riwayat Abu Amru Al-Dani dalam Al-Sunan Al-Waridah Fi Al-Fitan. Silsilah     Al-Sahihah oleh Sy. Albani No. 1273)

Dalam riwayat lain Baginda r menjelaskan:
" طُوبَى لِلْغُرَبَاءِ أُنَاسٌ صَالحُونَ في أنَاس سُوءٍ كَثِيرٍ مَنْ يَعْصِيهِمْ أكْثَرُ ممَّنْ يُطِيعُهُمْ "
“Beruntunglah orang-orang yang asing (Al-Ghurabaa’). Orang-orang soleh yang sedikit di kalangan manusia yang ramai. Orang-orang yang menyelisihi mereka lebih ramai daripada orang-orang yang mengikut mereka.” (Sahih. Riwayat Ibnu Mubarak dalam Al-Zuhd)

PENJELASAN IMAM IBNU AL-QAYYIM TENTANG ORANG-ORANG YANG ASING       (AL-GHURABAA')

Berkata Imam Ibnu Al-Qayyim:

"Merekalah orang-orang asing yang dipuji lagi dicemburui. Oleh kerana mereka terlalu sedikit di kalangan manusia, mereka dikatakan ‘asing’.

Maka kebanyakan manusia tidak mempunyai sifat mereka ini. Sepertimana orang-orang Islam adalah asing dikalangan umat manusia manakala orang-orang yang beriman adalah asing di kalangan umat Islam. Orang-orang yang berilmu adalah asing di kalangan orang-orang yang beriman. Orang-orang Sunnah – yang membezakan diri mereka daripada golongan pengikut hawa nafsu dan ahli bidaah – mereka juga adalah asing.

Bahkan mereka yang mengajak kepada Sunnah, bersabar terhadap gangguan golongan yang menyelisihi mereka lebih terasing (daripada kalangan pengikut Sunnah secara umumnya).

Tetapi hakikatnya merekalah hamba Allah yang sebenarnya. Tidak ada yang asing bagi mereka. Mereka hanya asing di kalangan kebanyakan manusia yang mana Allah menyatakan, “Dan jika engkau menurut kebanyakan manusia yang ada di atas muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu daripada jalan Allah” (Al-Anaam, 116). Merekalah orang-orang yang asing di sisi Allah, RasulNya dan AgamaNya.

Selanjutnya Imam Ibnu Al-Qayyim berkata:

"Keasingan ini boleh berlaku di suatu tempat dan tidak di tempat yang lain; atau di suatu masa dan tidak di masa yang lain; atau di kalangan sesebuah kaum dan tidak di kalangan kaum yang lain.

Walaubagaimanapun, orang-orang yang asing ini adalah pengikut Allah yang sebenar kerana mereka tidak berlindung kecuali dengan Allah; mereka tidak menisbahkan diri mereka kecuali kepada Rasulullah; dan mereka tidak menyeru kecuali kepada apa yang telah dibawa oleh Baginda r.
Merekalah yang mana manusia telah tinggalkan apa yang mereka paling perlukan. Maka pada Hari Akhirat ketika manusia diarahkan untuk pergi ke tuhan-tuhan mereka, mereka ini kekal di tempat mereka. Dikatakan kepada mereka, “Mengapa kamu tidak pergi seperti mana manusia lain pergi? Mereka menjawab, “Kami telah menyelisihi manusia, dan kami mananti Tuhan kami yang kami sembah.”             (Sahih. Hadis riwayat Ibnu Hibban).

Sungguh, keasingan ini bukanlah suatu yang membuatkan orangnya sedih. Bahkan ia adalah perkara yang paling menggembirakan orangnya tatkala orang lain berdukacita (di Akhirat). Malah kemuncak keasingannya adalah tatkala orang lain merasa gembira (di dunia). Penolong mereka adalah Allah, RasulNya serta orang-orang yang beriman, walaupun kebanyakan manusia memusuhi mereka serta menjauhkan diri daripada mereka.

Dalam sebuah Hadis Qudsi Allah Ta'ala berkata, “Sesungguhnya waliKu yang paling dicemburui disisiKu adalah orang mukmin yang hidupnya sederhana tetapi lumayan dalam solatnya. Ibadahnya adalah yang terbaik. Rezekinya adalah sekadar kecukupan. Walaupun begitu, keadaannya tidak diketahui oleh manusia. Dia tidak dipandang orang dan dia terus bersabar sehingga dia bertemu dengan Allah dan memperolehi apa yang diharapkannya. Apa yang diwariskannya (di dunia) hanya sedikit dan mereka yang menangisi pemergiannya tidaklah ramai.” (Hasan. Riwayat Imam Ahmad)

Di kalangan mereka yang asing ini adalah golongan yang disebutkan oleh Nabi r, “Barangkali seorang yang rambutnya kusut, badannya berdebu, pakaiannya lusuh dan dia tidak dipedulikan orang, (tetapi) kalau dia bersumpah dengan Allah, doanya akan dimakabulkan.” (Hasan. Riwayat Imam Tirmizi)

Berkata Imam Ibnu Al-Qayyim lagi:

Di antara ciri orang-orang yang asing ini adalah mereka berpegang dengan Sunnah tatkala manusia berpaling daripadanya. Mereka tinggalkan perkara-perkara baru (bidaah) walaupun itulah yang dijadikan kebiasaan oleh manusia. Mereka mempertahankan Tauhid walaupun manusia mengingkarinya. Mereka meninggalkan segala sandaran kepada selain daripada Allah dan Rasulnya; sama ada syeikh, tarikat, mazhab, parti mahupun golongan yang tertentu.

Mereka adalah orang-orang asing yang menyembah Allah semata-mata; berpegang teguh (ittibaa’) dengan apa yang dibawakan oleh Rasulullah; merekalah orang-orang yang benar-benar menggenggam bara api.


Kebanyakan manusia -bahkan seluruh mereka- mencemuh orang-orang ini. Asingnya mereka daripada manusia membuatkan manusia menganggap mereka sebagai kelompok yang ganjil, pelaku amalan pelik dan terkeluar daripada majoriti                 (Al-Sawaadul A’adham).

Sekiranya seorang mukmin itu yang telah diberikan Allah kefahaman dalam Agama; telah terjelas kepadanya Sunnah RasulNya; dan dia telah melihat bagaimana keadaan manusia yang bergelumang dalam mengikut hawa nafsu, bidaah dan kesesatan serta berpaling daripada Jalan Lurus yang telah ditempuhi oleh Rasulullah r dan para Sahabat. Maka sekiranya dia mahu menempuh Jalan Lurus ini, hendaklah dia membiasakan dirinya dengan cacian orang-orang yang jahil, penghinaan orang-orang bidaah, perlekehan serta pulauan mereka. Sebagaimana yang telah dilakukan oleh orang-orang kafir terhadap Rasulullah r.

Maka dia adalah orang yang asing dalam Agamanya kerana rosaknya agama manusia. Dia adalah orang yang asing dalam berpegang dengan Sunnah Nabinya kerana berpegangnya manusia dengan bidaah. Dia asing dalam kepercayaannya kerana rosaknya kepercayaan manusia. Dia asing dalam solatnya kerana rosaknya solat manusia. Dia asing dalam hala- tujunya kerana rosaknya hala-tuju manusia. Dia asing ketika bergaul dengan manusia kerana dia bergaul dengan mereka dalam apa yang hawa nafsu mereka tidak biasa dengannya.

Kesimpulannya, dia asing dalam urusan dunianya dan akhiratnya. Dia tidak mendapat pertolongan mahupun bantuan daripada masyarakat. Dia adalah orang yang berilmu di kalangan masyarakat yang jahil. Pengikut Sunnah di kalangan ahli bidaah. Dia mengajak kepada Allah dan RasulNya di kalangan masyakat yang menyeru kepada hawa nafsu dan bidaah. Dia menyeru kepada amar makruf serta melarang yang mungkar di kalangan manusia yang menganggap bahawa yang makruf itu mungkar manakala yang mungkar itu makruf." Tamat kata-kata Imam Ibnu Al-Qayyim. Nukilan daripada kitab beliau Madaarij Al-Salikin.


وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم


Kajang, 22.02.1434H / 04.01.2013
Idrissulaiman@yahoo.com