HUBUNGAN IKHWANUL MUSLIMIN DENGAN SYIAH & RASIONAL ARAB SAUDI TIDAK MENYOKONG MURSI



Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman
(Disalin dari rakaman audio: menjawab persoalan isu Mesir, 29.08.2013)
421993_10151890969393327_252798822_n
Saya agak keberatan apabila diminta untuk mengulas topik ini kerana ia agak berat dan saya kira ia hanya layak diulas oleh Ulama-ulama besar, mengenangkan ia berkenaan satu musibah yang menimpa Umat Islam, iaitu musibah yang menimpa rakyat Mesir. Tetapi saudara kita meminta supaya kita memberikan penjelasan. Dengan berat hati saya merasakan ada baiknya dijelaskan sahaja prinsip-prinsip ataupun dasar-dasar dan kaedah yang menjadi pegangan generasi Salaf Al-Soleh sejak zaman berzaman dalam berdepan dengan situasi ataupun fitnah seperti ini. InsyaAllah berbekalkan prinsip dan dasar ini, moga-moga ia akan menjadi panduan buat kita bukan sahaja dalam berdepan dengan isu di Mesir, tetapi dalam apa juga isu yang seumpamanya.

1. KEMBALI KEPADA MANHAJ SALAF AL-SOLEH DALAM BERDEPAN FITNAH
Kalau kita lihat hadis-hadis yang akan kita sebutkan sebahagiannya nanti, apa yang berlaku di Mesir bukanlah yang pertama dan percayalah ia bukan yang terakhir. Maka kerana itu ia menuntut kita untuk memahami apa yang sedang berlaku di sana, apakah kedudukan kita dan apakah prinsip dan pedoman yang perlu kita pegang untuk berdepan dengan situasi seperti ini.
Apa yang berlaku di Mesir memberi gambaran betapa perlunya kita memahami manhaj Salaf Al-Soleh, memahami Agama Islam dengan ertikata yang sebenarnya, agama Islam yang dibawakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang disimpulkan sebagai manhaj Salaf Al-Soleh.
Apa ertinya manhaj Salafus Soleh? Iaitu manhaj yang berdiri di atas apa yang dibawa oleh penghulu Salafus Soleh, penghulu generasi awal Islam, iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Bagindalah yang menjadi panduan kita, berbekalkan penjelasan yang diberikan oleh para sahabat dan juga dua generasi yang datang berikutnya iaitu Tabi’in dan Tabi’ Al-Tabi’in. Inilah yang dikatakan sebagai manhaj Salaf Al-Soleh.
Hanya dengan memahami manhaj Salaf Al-Soleh sahaja akan dapat menyelamatkan kita, agama kita, akidah kita, ibadah, akhlak dan juga tingkah laku kita dari terjebak dengan fitnah seperti yang berlaku kepada rata-rata umat Islam yang mana majoriti mereka tidak memahami apakah kaedah yang perlu mereka pegang dalam berdepan dengan isu-isu besar seperti yang berlaku di Mesir. Akhirnya kita dapat melihat mereka goyah, celaru, keliru tentang apa yang sepatutnya mereka lakukan, apakah pendirian yang sepatutnya mereka pegang dalam berdepan dengan isu-isu ini.
Cara untuk kita selamat dari fitnah-fitnah besar ini hanya satu; iaitu dengan kembali kepada Agama Islam. Apabila kita kata kembali kepada Islam, tidak lain dan tidak bukan adalah kembali kepada manhaj Salaf Al-Soleh, kerana Islam (yang tulen) adalah apa yang terkandung dalam manhaj Salafus Soleh. Kalau kita kata kembali kepada Islam sahaja, semua mendakwa mereka Islam. Majoriti kumpulan-kumpulan Islam mendakwa mereka berpegang dengan Islam, berpegang dengan Al-Quran dan Al-Sunnah, tetapi mereka berselisih. Ini kerana mereka tidak berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar, iaitu yang disimpulkan sebagai manhaj Salaf Al-Soleh.
HAKIKAT FITNAH
Apakah yang dimaksudkan dengan fitnah? Kadang-kadang penggunaan kita dalam Bahasa Melayu lain daripada penggunaan dalam Bahasa Arab. Fitnah dalam Bahasa Melayu lebih membawa maksud mereka-reka cerita, memburuk-burukkan orang dan seumpamanya. Adapun dalam Bahasa Arab, asal perkataan fitnah itu membawa maksud ujian. Fitnah akhir zaman; bermaksud ujian-ujian besar yang berlaku di akhir zaman.
Dalam Agama, banyak hadis Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah menjelaskan tentang fitnah-fitnah yang akan berlaku di akhir zaman, yang mana kita saksikan berlaku di hadapan mata kita termasuklah apa yang berlaku di Mesir. Antaranya adalah sepertimana yang disebutkan dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
بَادِرُوا بِالأَعْمَالِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ يُصْبِحُ الرَّجُلُ مُؤْمِنًا وَيُمْسِى كَافِرًا أَوْ يُمْسِى مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا يَبِيعُ دِينَهُ بِعَرَضٍ مِنَ الدُّنْيَا
“Bergegaslah mengerjakan amalan-amalan soleh sebelum datangnya fitnah seperti malam yang gelap gelita. (Iaitu) seseorang pada waktu paginya beriman dan pada waktu petang dia kafir. Atau pada waktu petang beriman dan pada waktu paginya kafir. Dia menjual agamanya kerana ingin mendapat habuan dunia.” (Riwayat Muslim)
Kenapa fitnah dikatakan ujian? Yang dimaksudkan dengan ujian adalah seseorang itu bukan sekadar teruji dengan musibah begitu sahaja, tetapi dia diuji dengan sesuatu yang tidak jelas, ia samar antara benar dan salah. Seorang itu jadi keliru tentang apa yang perlu dilakukan, apakah sesuatu itu benar ataupun salah, dia jadi keliru, bingung. Itu maksud fitnah di akhir zaman.
Dalam hadis yang lain, Zainab binti Jahsy (Ummul Mukminin) menceritakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam datang kepadanya dengan wajah Baginda menjadi risau dan gusar, bimbang, lalu Baginda mengatakan,
لَا إله إِلَّا الله، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدِ اقْتَرَبَ، فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوْجَ وَمَأْجُوْجَ مِثْلَ هذه. وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الْإِبْهَامِ وَالَّتِيْ تَلِيْهَا
“Tiada Tuhan kecuali Allah, celakalah orang Arab dari kejahatan yang semakin dekat. Telah dibuka pada hari ini tembok Yakjuj dan Makjuj seperti ini. Lalu Baginda melingkarkan ibu jarinya dengan jari telunjuknya.” (Muttafaqun alaih)
Terbuka sedikit sahaja tembok yang menghalang kedatangan Yakjuj dan Makjuj pada zaman Rasulullah telah membuat Rasulullah risau dan orang Arab telah celaka kerananya. Lalu Zainab binti Jahsyi berkata,
فَقُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ أَنَهْلِكُ وَفِيْنَا الصَالِحُوْنَ قَالَ نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الخَبَثُ
Lalu aku bertanya, “Adakah kita akan binasa sedangkan di sekeliling kita masih ada orang-orang soleh?” Baginda menjawab, “Ya, apabila kejahatan itu telah berleluasa.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Maknanya adanya orang-orang soleh di kalangan Umat Islam tidak akan menjadi penghalang dari terbinasanya semua umat Islam, sekiranya kejahatan itu telah berleluasa.
Dalam hadis lain yang insyaAllah cukup masyhur menjelaskan tentang fitnah akhir zaman, lebih-lebih lagi ia berkait rapat dengan apa yang berlaku di Mesir dan sepatutnya menjadi panduan buat kita. Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim juga, daripada seorang sahabat yang bernama Huzaifah bin Al-Yaman radhiyallahu ‘anhu, dia mengatakan,
كَانَ النّاسُ يَسْأَلُونَ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الْخَيْرِ. وَكُنْتُ أَسْأَلُهُ عَنِ الشّرِّ. مَخَافَةَ أَنْ يُدْرِكَنِي. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِِ إنّا كُنّا فِي جَاهِلِيّةٍ وَشَرٍّ. فَجَاءَنَا اللهُ بِهَذَا الْخَيْرِ. فَهَلْ بَعْدَ هَذَا الْخَيْرِ شَرٌّ؟ قَالَ: “نَعَمْ” فَقُلْتُ: هَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الشّرِّ مِنْ خَيْرٍ؟ قَالَ: “نَعَمْ. وَفِيهِ دَخَنٌ” قُلْتُ: وَمَا دَخَنُهُ؟ قَالَ: “قَوْمٌ يَسْتَنُّونَ بِغَيْرِ سُنَّتِي، وَيَهْدُونَ بِغَيْرِ هَدْيِي. تَعْرِفُ مِنْهُمْ وَتُنْكِرُ”. فَقُلْتُ: هَلْ بَعْدَ ذَلِكَ الْخَيْرِ مِنْ شَرٍّ؟ قَالَ: “نَعَمْ. [فتنةٌ عمياءُ] دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ. مَنْ أَجَابَهُمْ إلَيْهَا قَذَفُوهُ فِيهَا”. فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ صِفْهُمْ لَنَا. قَالَ: “نَعَمْ. قَوْمٌ مِنْ جِلْدَتِنَا. وَيَتَكَلَّمُونَ بِأَلْسِنَتِنَا” قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ فما تأمُرُني إن أدرَكني ذلك ؟ قَالَ: “تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَإمَامَهُمْ [ تسمعُ وتُطيعُ الأميرَ ، وإن ضرب ظهرَك ، وأخذ مالَك ، فاسمع وأطِعْ ] ” فَقُلْتُ: فَإنْ لَمْ تَكُنْ لَهُمْ جَمَاعَةٌ وَلاَ إِمَامٌ؟ قَالَ: “فَاعْتَزِلْ تِلْكَ الْفِرَقَ كُلَّهَا. وَلَوْ أَنْ تَعَضَّ عَلَى أَصْلِ شَجَرَةٍ، حَتّىَ يُدْرِكَكَ الْمَوْتُ، وَأَنْتَ عَلَى ذَلِكَ”
“Manusia bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tentang perkara kebaikan, sedangkan aku bertanya kepada Baginda tentang kejahatan, kerana aku khuatir ia akan menimpaku. Aku bertanya, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami dahulu berada pada masa jahiliyah dan kejahatan, lalu Allah mendatangkan kami kebaikan ini (dengan diutuskan Rasul). Apakah setelah kebaikan ini ada kejahatan?’ Baginda menjawab, ‘Ya.’ Aku bertanya lagi, ‘Adakah selepas kejahatan itu ada kebaikan?’ Baginda menjawab, ‘Ya, tetapi padanya ada asap.’ Aku bertanya, ‘Apa asap itu?’ Baginda menjawab, ‘Kaum yang berjalan bukan dengan sunnahku dan mengikuti petunjuk dengan selain petunjukku. Engkau mengenali sebahagian mereka dan mengingkarinya.’ Aku bertanya lagi, ‘Apakah setelah kebaikan itu ada kejahatan?’ Baginda menjawab, ‘Ya, [fitnah yang membutakan mata] pendakwah-pendakwah yang menyeru kepada pintu-pintu Neraka Jahannam. Barangsiapa yang menyahut seruan mereka nescaya mereka akan mencampakkannya ke dalam Neraka.’ Aku bertanya lagi, ‘Wahai Rasulullah, jelaskan kepada kami sifat-sifat mereka.’ Baginda menjawab, ‘Ya. Mereka adalah kaum yang kulitnya seperti kita dan mereka berbicara dengan bahasa kita.’ Aku bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, apakah yang engkau perintahkan jika aku berdepan dengannya?’ Baginda menjawab, ‘Hendaklah engkau terus bersama dengan jamaah kaum Muslimin dan pemerintah mereka [hendaklah engkau dengar dan patuh kepada pemerintah, walaupun belakangmu dipukul dan hartamu dirampas, dengarlah dan patuhlah].‘ Aku bertanya, ‘Bagaimana jika tidak ada jamaah (umat Islam berpecah) dan tidak ada pemerintah?’ Baginda menjawab, ‘Tinggalkanlah semua kelompok-kelompok itu meskipun engkau terpaksa menggigit akar pokok sehingga ajalmu datang sedang engkau masih dalam keadaan begitu.’” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Rasulullah menyuruh supaya tinggalkan semua kumpulan yang ada (jika tidak ada pemerintah dan tidak ada jamaah yang bersatu di bawah pemerintah), walaupun terpaksa menggigit akar pokok supaya kita tidak terjatuh ke dalam lembah fitnah. Rasulullah menyuruh kita gigit, bukan berpaut; supaya kita tidak terpedaya dengan fitnah yang berlaku pada ketika itu.
Dalam riwayat yang lain Rasulullah menjelaskan lagi tentang fitnah itu. Fitnah yang membutakan mata, pendakwah-pendakwah yang menyeru ke Neraka, Baginda berkata,
يَكُونُ بَعْدِى أَئِمَّة لاَ يَهْتَدُونَ بِهُدَاىَ وَلاَ يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِى وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِى جُثْمَانِ إِنْسٍ قَالَ قُلْتُ كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ قَالَ تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ
“Akan ada selepas peninggalanku para pemerintah yang tidak mengikut petunjukku dan tidak beramal dengan sunnahku, dan akan ada di kalangan mereka (para pemerintah yang tidak mengikut petunjuk dan sunnah) pemerintah yang hati mereka adalah hati syaitan dalam jasad manusia.” Aku (Hudzaifah) berkata, “Bagaimana aku harus bersikap jika aku berdepan dengan hal seperti ini?” Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Engkau tetap dengar dan taat kepada pemerintah itu, dan jika belakangmu dipukul dan hartamu dirampas sekalipun, hendaklah engkau dengar dan taat.” (Riwayat Muslim)
Dalam hadis ini Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menceritakan tentang bagaimana keadaan fitnah di akhir zaman. Rasulullah menyebut فتنةٌ عمياءُ (fitnah yang membutakan mata), manusia menjadi keliru, bingung. Akan ada أتباع كل نَاعِق , setiap firqah akan ada pengikutnya. Sehodoh-hodoh firqah akan ada pengikutnya. Ajaran sesat Ayah Pin, Rasul Melayu, semua ini ada pengikutnya. Ini yang dikatakan فتنةٌ عمياءُ (fitnah yang membutakan), dan kalau kita lihat di Mesir, tidak kurang butanya juga.
FITNAH YANG DITIMBULKAN IKHWANUL MUSLIMIN
Kita melihat fitnah yang dibawakan oleh Jemaah yang telah diasaskan kira-kira 100 tahun lepas iaitu Jemaah Ikhwanul Muslimin. Jemaah ini diasaskan oleh Hasan Al-Banna pada tahun 1928, hampir 100 tahun. Jemaah Ikhwanul Muslimin yang mana sehingga ke hari ini kita dapat melihat kelibat mereka, tindak tanduk mereka, apa yang mereka lakukan iaitu mereka cuba menggugat pemimpin atau presiden sebelum ini iaitu Husni Mubarak. Kita lihat apa fitnah yang mereka timbulkan. Fitnah yang cukup dahsyat. Ini cerita 2 tahun lepas.
Akhirnya apabila fitnah ini timbul, ramai yang menyokong usaha Ikhwanul Muslimin ini untuk menjatuhkan Husni Mubarak atas sangkaan bahawa apa yang mereka lakukan ini adalah bagus kerana mereka sedang menjatuhkan seorang pemerintah yang zalim, yang telah memerintah Mesir selama hampir 30 tahun. Pemerintah kuku besi, menghalang Jemaah Islam berdakwah. Maka mereka dengan penuh semangat, dengan penuh iman menyatakan sokongan mereka kepada gerakan dan usaha Ikhwanul Muslimin ini untuk menjatuhkan pemerintah mereka. Dan usahanya berjaya. Pemerintah itu digulingkan.
Tentu sahaja seperti mana yang kita dapat nampak dan telah kita jangka, ini adalah Sunnatullah, ini adalah ketetapan Allah dalam alam ini bahawa apabila seorang pemerintah itu digulingkan, akibatnya adalah sangat dahsyat. Sebab itulah dalam hadis Huzaifah, Rasulullah menyebut bahawa pemimpin ini tidak mengikut petunjuk Rasulullah, tidak mengikut sunnah, malah hati mereka adalah hati syaitan. Adakah manusia yang hatinya lebih jahat daripada hati syaitan? Tetapi apa perintah Rasulullah? تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلأَمِيرِ (Hendaklah engkau dengar dan patuh kepada pemerintah itu). وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ وَأُخِذَ مَالُكَ فَاسْمَعْ وَأَطِعْ (dan sekiranya belakangmu dipukul dan hartamu dirampas, hendaklah engkau dengar dan patuh).
Pemerintah apa yang memukul rakyatnya? Sudah tentulah pemerintah yang zalim. Pemerintah yang merampas harta rakyat, tidak kiralah dengan bentuk apapun; cukai, kutipan tol, tidak kira dengan apa cara pun harta rakyat dirampas, Rasulullah telah pun menyebutnya di dalam hadis. Apa yang pasti Rasulullah menyebut bahawa pemerintah itu merampas harta rakyat, walaupun dengan cara dia masuk dalam rumah dan merampas harta. Rasulullah berkata “Hendaklah kamu dengar dan patuh.”
Tetapi adakah itu yang dilakukan oleh Jemaah Ikhwanul Muslimin? Jawapannya jauh sekali. Sebaliknya mereka terus mengapi-apikan, sepanjang 100 tahun mereka diasaskan ini kerja mereka; mengapi-apikan kemarahan rakyat ke atas pemerintah mereka. Zaman berzaman. Hosni Mubarak bukan pemerintah Mesir yang pertama yang diganggu gugat oleh Ikhwanul Muslimin. Bahkan kita boleh simpulkan bahawa semua Presiden-Presiden sebelum itu telah menerima nasib yang sama. Bahkan ada di antara mereka yang dibunuh oleh antaranya Jemaah Ikhwanul Muslimin, walaupun mereka menafikannya.
Maka Ikhwanul Muslimin yang kononnya ingin membawa dakwah Islam, ingin menegakkan Negara Islam tidak mengikut petunjuk Nabi. Sekiranya sesebuah gerakan Islam itu tidak mengikut petunjuk Nabi, tidak mengikut sunnah, tidak mengikut Syariat dalam tindak tanduknya, maka apakah hasilnya? Adakah baik atau buruk? Tentu sahaja buruk. Kerana yang baik itu hanya dengan kita berpegang dengan Syariat. Yang baik itu hanya dengan mengikut panduan dan Sunnah Nabi. Tidak ikut panduan dan Sunnah, akibatnya pasti buruk. Pasti. Itu perlu menjadi iman kita kerana tidak ada yang baik kecuali di dalam Sunnah Nabi. Manakala yang buruk-buruk itu semuanya adalah yang menyelisihi petunjuk Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
Maka apabila mereka menggulingkan Hosni Mubarak, berlaku kacau-bilau yang tidak ada kesudahannya, akhirnya mereka mengangkat seorang Presiden iaitu Mursi. Kononnya ini adalah presiden yang membawa wajah Islamik. Maka dikempen sana sini bahawa dia adalah seorang yang hafal Al-Quran, ada jiwa Islam, berjanggut, walaupun janggutnya tidak mengikut sunnah pun. Orang mudah terkeliru dengan zahir kerana mereka tidak tahu apa yang penting. Yang lebih penting adalah intipatinya. Jangan kita terkeliru dengan zahir. Kalau hendak beli kereta, jangan tengok luar sahaja. Selepas bayar tengok enjin tidak ada. Malangnya mereka hanya menghukum dari segi zahir.
HUBUNGAN BAIK IKHWANUL MUSLIMIN DENGAN IRAN (SYIAH)
Sebelum Presiden Mursi naik lagi, apabila Presiden Hosni Mubarak dijatuhkan sahaja, tidak semena-mena Ikhwanul Muslimin menghantar satu delegasi kira-kira 100-200 orang ke Iran.
Kemudian apabila Presiden Mursi naik, mungkin ramai tidak tahu bahawa antara apa yang dia iklankan adalah dia akan membangunkan Terusan Suez, dia hendak meletakkan pelabuhan-pelabuhan, kerana Terusan Suez ini adalah satu pelabuhan yang cukup penting dalam perdagangan laut antarabangsa.
Kalau kita tidak tahu cerita kita tidak faham. Tetapi sebenarnya ia mengganggu gugat pelabuhan yang ada di United Arab Emirates (UAE). UAE berdiri di atas -yang mana antara perkhidmatan utamanya adalah- perkhidmatan pelabuhan itu sendiri. Selama 30 tahun Hosni Mubarak memerintah, dia sudah ada perjanjian dengan negara-negara Arab itu bahawa dia tidak akan membangunkan pelabuhan ini, dan negara-negara Teluk termasuk Arab Saudi, termasuk Emirate mereka memberi bantuan kewangan kepada Mesir bertahun-tahun sepanjang pemerintahan Hosni Mubarak.
Tetapi apabila datang Morsi, dia menyalahi apa yang dilakukan sebelumnya, dia keluar, dengan menghebahkan bahawa dia akan membangunkan pelabuhan ini. Tentulah kalau pelabuhan ini dibangunkan, ia akan menggugat negara UAE ini. Tidak cukup dengan itu, dia (Mursi/ Ikhwanul Muslimin) meminta bantuan Iran.
Daripada banyak-banyak negara, dia meminta bantuan Iran. Ini satu benda yang membingungkan. Apakah kaitan antara Ikhwanul Muslimin dengan Iran?
Kalau kita lihat sejarah, dalam banyak-banyak Jemaah gerakan Islam, kita akan dapati bahawa gerakan Ikhwanul Muslimin adalah yang paling lantang mengajak kepada merapatkan jurang antara Sunnah (Sunni) dengan Syiah.
Ikhwanul Muslimin dengan lantang mengatakan kita perlu dekatkan jurang yang ada antara kita (Sunni) dengan Syiah kerana mereka ini saudara Islam kita, perbezaan antara kita dengan mereka hanya dalam perkara furu’ yang mana perbezaan ini sepatutnya dimaafkan. Kita perlu ketepikan perbezaan ini dan kita perlu bersatu untuk berdepan dengan musuh yang lebih besar iaitu Yahudi dan Amerika. Ini logik Ikhwanul Muslimin.
Zaman berzaman, macam-macam usaha yang mereka lakukan untuk mendekatkan Syiah dengan Sunnah. Maka kesimpulannya, adakah Ikhwanul Muslimin dengan Syiah bermusuhan atau bersahabat? Tentulah bersahabat, sejak zaman berzaman lagi.
Ini memberi gambaran kepada kita mengapa Morsi melakukan tindakan itu, mengapa dia meminta bantuan daripada Iran sejurus selepas dia naik.
Dan pertama kali dalam sejarah Mesir sejak bertahun-tahun lamanya, di mana sepanjang zaman Hosni Mubarak tidak pernah berlaku, Mesir menjemput dan menyambut kedatangan Presiden Iran, Ahmadinejad.
Ahmadinejad pergi ke Kaherah dan diberikan sambutan rasmi. Ahmadinejad apabila dia pergi, dia bukan pergi begitu saja. Lawatan itu tidak pernah kita dengar dalam hubungan antarabangsa kerana lawatan rasminya adalah dalam seminggu dan Ahmadinejad secara terus terang mengambil inisiatif untuk menziarahi tempat-tempat sejarah yang ada hubungkait dengan Syiah, yang sehingga ke hari ini masih ada lagi. Tempat-tempat Husainiyat, maqam-maqam Imam-imam Syiah, dia mengambil inisiatif untuk melawat. Bahkan dia berkeras untuk berjumpa dengan Syaikhul Azhar. Ini semua boleh dilihat dalam youtube.
Walau bagaimanapun Syeikhul Azhar bijak, dia tahu muslihat Ahmadinejad. Ahmadinejad hendak menipu umat Islam yang tidak tahu, dia hendak mengatakan antara mereka dengan Sunnah, mereka ada Syeikhul Azhar, pemimpin Ulama-ulama Islam satu dunia bersama dengan mereka. Tetapi Syeikhul Azhar faham muslihat itu. Maka ada berlaku beberapa perkara yang tidak menyenangkan.
Tapi dapat kita lihat usaha gigih yang diambil oleh Syiah untuk mengambil peluang daripada kesempatan yang diberikan kepada mereka oleh Kerajaan Mesir yang baru, oleh Presiden Mursi ini.
Maka hendak mengatakan bahawa hubungkait Ikhwanul Muslimin dengan Syiah sangat rapat. Itu satu.
Satu lagi perkara yang cukup membingungkan, tentang bagaimana Ikhwanul Muslimin sejak zaman berzaman, hampir 100 tahun sehingga ke hari ini tidak dapat dibanteras oleh kerajaan Mesir. Sedangkan mereka kata kerajaan Hosni Mubarak ini kuku besi, ertinya dia kuat, ada kekuasaan di mana dia berjaya memerintah selama 30 tahun tanpa ada orang gugat, tidak ada pembangkang. Itu menunjukkan kekuatan. Tetapi di sini ada satu percanggahan. Kalau dia benar-benar kuat, kenapa dia tidak dapat membanteras Ikhwanul Muslimin?
Dia telah mencuba. Kebanyakan mursyid-mursyid Am (pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin) ini semua ditangkap. Tetapi itu semua tidak berjaya menguburkan Ikhwanul Muslimin.
Mungkin ada yang tidak nampak lagi. Saya bagi satu contoh di Malaysia, satu ketika dulu ada satu Jemaah namanya Al-Arqam. Jemaah Al-Arqam pada ketika ini boleh dikatakan telah terkubur. Walaupun ada serpihan-serpihan, tetapi secara rasminya ia terkubur. Menunjukkan bahawa sesebuah kerajaan itu kalau kuat, dia akan dapat membanteras apa juga gerakan yang boleh menggugat kerajaan itu. Kewujudan gerakan-gerakan ini tidak ada maslahat untuknya, bahkan menggagu gugat. Maka logiknya dia membanteras, dan itu yang dilakukan oleh Hosni Mubarak. Tetapi kenapa setelah hampir 100 tahun mereka tidak berjaya membanteras Ikhwanul Muslimin?
Ini memberi gambaran bahawa di belakang Ikhwanul Muslimin, dan hal ini memang diakui oleh orang-orang Mesir, mereka memang mengatakan bahawa pada zaman Hosni Mubarak mereka tidak kenal siapa orang yang menggerakkan Ikhwanul Muslimin, tidak diketahui. Sehinggalah apabila Presiden Mursi naik, baru mereka mendapati bahawa rupanya ada ahli Majlis Tertinggi Ikhwanul Muslimin. Baru mereka tahu ada Majlis Tertinggi. Baru mereka tahu bilangan ahlinya 40 orang. Baru mereka tahu anggotanya ini, ini, ini. Baru mereka tahu. Ini yang mereka nampak, apa yang mereka tidak nampak lebih banyak. Kerana satu lagi aspek yang lebih penting adalah sehingga ke hari ini tidak diketahui siapakah pihak yang menjana dan memberi bantuan kewangan kepada Ikhwanul Muslimin sejak zaman berzaman ini. Sehingga ke hari ini tidak diketahui.
Ini kerana mana-mana pertubuhan kalau tidak ada fulus tidak boleh bergerak. Termasuk Ikhwanul Muslimin. Maka persoalannya, siapakah yang memberi bantuan kewangan kepada mereka untuk mereka terus kekal hampir 100 tahun?
PERSAMAAN IKHWANUL MUSLIMIN DAN SYIAH
Hubungan antara Ikhwanul Muslimin dengan Syiah adalah satu hubungan adik beradik. Kenapa mereka dapat jadi begitu kerana adanya persamaan antara keduanya. Dari segi akidah lain, dari segi ibadah lain, buku-buku rujukan lain, tetapi mereka dapat bersama kerana adanya persamaan; Ada persamaan dari segi keagamaan, dan ada persamaan dari segi politik.
Gerakan syiah bukan sahaja gerakan agama, tetapi ia juga adalah satu gerakan politik. Ini kerana di antara rukun agama Syiah adalah percaya kepada para Imam. Mereka percaya bahawa sesebuah negara itu hanya boleh diperintah oleh Imam-Imam daripada generasi Ali bin Abi Thalib. Ini adalah Imam yang sah menurut mereka. Selain daripada itu dianggap pemerintah yang zalim kerana tidak mendapat lantikan melalui jalan yang betul. Ini kepercayaan orang Syiah.
Maka kita kena faham bahawa semua pemerintah-pemerintah Islam yang ada pada hari ini tidak diiktiraf oleh Syiah. Mazhab mereka, agama mereka tidak mengiktiraf semua pemerintah-pemerintah Islam yang ada pada hari ini, kerana apa yang pasti mereka semua bukan daripada keturunan Ali bin Abi Thalib. Pemerintah bagi mereka hanyalah orang-orang tertentu sahaja. Adapun pemerintah Iran pada hari ini dianggap sebagai wakil. Selain dari itu tidak diiktiraf dan diperangi.
Ikhwanul Muslimin juga membawa fikrah yang sama; memerangi pemerintah-pemerintah Islam. Walaupun bukan atas alasan percaya kepada Imam, tetapi atas alasan pemerintah itu zalim. Alasannya sebenarnya hampir sama. Ini dari segi ideologinya. (Rujuk kertas kerja di sini untuk gambaran lebih jelas)
RASIONAL ARAB SAUDI TIDAK MENYOKONG MURSI
Satu lagi persoalan, baru-baru ini ramai tertanya-tanya kenapa kerajaan-kerajaan teluk didahului oleh Arab Saudi dan juga negara-negara teluk yang lain; UAE, Qatar, Bahrain menolak pemerintahan Mursi dan menyatakan sokongan kepada pemerintahan tentera Al-Sisi setelah Mursi dijatuhkan. Banyak yang mengatakan ini adalah khianat, menyekat pergerakan Islam dan sebagainya.
Mereka tidak sedar bahawa pemerintahan Mursi sedang bersekongkol dengan Iran, yang mana kita tahu bahawa tujuan Iran adalah hendak menghapuskan negara-negara Sunnah. Matlamat besar dan matlamat akhir mereka adalah kerajaan Arab Saudi, kerana di situlah adanya kiblat orang-orang Sunnah, iaitu Kaabah di Makkah. (Mereka hendak mengalihkan kiblat umat Islam ke Karbala, Iran)
Mereka ingin hapuskan ini semua. Bahkan mereka telah cuba untuk meletupkan Kaabah pada tahun 1987. Jemaah-Jemaah Iran membawa bahan-bahan letupan dalam tapak beg mereka untuk letupkan Kaabah. Cuma Alhamdulillah, Allah masih sayang kepada umat Islam dan muslihat mereka itu dapat dibongkar oleh kerajaan Arab Saudi pada masa itu.
Jadi ini matlamat mereka. Tetapi entah bagaimana, Mesir yang merupakan sebuah negara Islam yang cukup besar jumlah rakyatnya sudah bersekongkol dengan Iran. Tidakkah ini menjadi satu bahaya kepada negara-negara Sunnah yang lain? Tentu sahaja.
Kalau Iran dapat menguasai Mesir; Iran dari sebelah Timur, Mesir dari sebelah Barat, apa agaknya peluang yang ada untuk negara-negara Arab Teluk untuk mempertahankan diri?
Ikhwanul Muslimin sememangnya tidak suka kepada negara-negara Teluk. Bukan kerana dia Arab Saudi, bukan kerana dia negara kaya, bukan kerana dengki dia ada petrol. Tidak, kita kadang-kadang kurang faham. Ia sebenarnya lebih besar daripada itu.
Ikhwanul Muslimin tidak bersetuju dengan Arab Saudi secara khasnya dan negara-negara Teluk secara amnya kerana Arab Saudi ini dianggap sebagai ‘abang besar’ kepada Negara-negara Teluk yang lain; Qatar, UAE, Bahrain. Kalau kita lihat dalam peta pun kita dapati Arab Saudi lebih besar, dan jumlah rakyatnya lebih sedikit berbanding negara-negara teluk yang lain.
Kuwait, penduduknya 5 juta. Sedikit. Berbanding dengan Iran yang penduduknya berjuta-juta. Jadi kalau mereka duduk sendiri, ia akan mudah dihapuskan oleh Iran. Telah lama mereka boleh dihapuskan oleh Iran. Tetapi kenapa negara-negara Teluk seperti Qatar, Bahrain sehingga ke hari ini masih lagi dapat bertahan? Kerana adanya abang besar Arab Saudi ini.
Bahkan ketika adanya demonstrasi orang-orang Syiah di Bahrain, kerajaan Bahrain tidak dapat mempertahankan diri. Mereka meminta bantuan Arab Saudi. Arab Saudi juga yang menghantar tenteranya untuk mengekang demonstrasi dari puak-puak Syiah ini. Kita mungkin tidak faham mengapa dan betapa bahayanya, kerana demonstrasi itu bukan dari rakyat tempatan, sebaliknya didokong oleh Kerajaan Iran yang hendak menguasai Negara-Negara Sunnah ini dan hendak menghancurkannya akhirnya.
Bahaya itu cukup difahami oleh Arab Saudi. Arab Saudi menyedari ancaman ini. Dan ini bukan masalah dengki, dia ada petrol, dia kaya. Tidak. Ini adalah masalah akidah.
Alhamdulillah, kita sepatutnya bersyukur kerana adanya negara Islam yang terus berdiri di atas tunjang akidah yang benar, tetapi dukacitanya rata-rata masyarakat Islam tidak memahami hakikat ini. Akhirnya mereka melabel negara ini sebagai negara Wahabi. Subhanallah. Kita katakan kepada mereka ini, kalau anda bukan Syiah, dan anda bukan bersama dengan negara yang anda label Wahabi, anda bersama siapa lagi?
Mesir yang di belakangnya Ikhwanul Muslimin pun sudah hendak hampir dengan Syiah, anda menyatakan sokongan anda kepada Ikhwanul Muslimin? Tidakkah anda tahu bahawa Ikhwanul Muslimin itu bersekongkol dengan Syiah? Orang-orang ini jahil.
Alhamdulillah masyarakat kita baru sedar tentang Syiah. Tetapi dalam masa sama dia sokong Ikhwanul Muslimin. Itu bercanggah. Ikhwanul Muslimin bersahabat dengan Syiah, bagaimana anda boleh menyatakan sokongan anda kepada Ikhwanul Muslimin?
Jadi Ikhwanul Muslimin tidak bersetuju dengan Arab Saudi kerana akidahnya berbeza, manhajnya berbeza. Bukan sahaja berbeza dari sudut politik, tetapi dari segi pegangan agama juga berbeza. Syiah dan Ikhwanul Muslimin berbeza dengan Arab Saudi secara khasnya dari segi politik dan juga yang lebih penting dari segi agama iaitu akidah.
Akidah Arab Saudi Alhamdulillah, ini semua berkat dari usaha dakwah Syaikhul Islam Muhammad bin Abdul Wahhab dua ratus tahun lepas, di mana dia berjaya menghapuskan kesan-kesan syirik, tempat-tempat syirik, di mana pada zaman Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab adanya penyembahan kubur, orang-orang tawaf di keliling kubur, orang-orang pergi meminta hajat di kubur, mereka beriktikaf di kubur, kalau hendak solat mereka meninggalkan masjid dan pergi ke kubur, kalau hendak berzikir mereka pergi kubur, masjid menjadi lengang dan kubur-kubur menjadi sesak.
Tetapi Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab berjaya menghapuskan semua amalan-amalan ini. Maka kerana itu tidak hairanlah mengapa Ikhwanul Muslimin memusuhi kerajaan Arab Saudi. Kerana perbezaan akidah itu.
Ikhwanul Muslimin tidak mempertahankan akidah, mereka tidak mepertahankan (ketulenan) ibadah. Sebab itu kita lihat Ikhwanul Muslimin rojak; Syiah ada, sufi ada, jihadi ada, takfiri ada, macam-macam semua ada.
Dan tempat-tempat Syirik di Mesir terus subur hingga ke hari ini. Ahmadinejad apabila datang ke Mesir apa yang dia lawati? Dia pergi melawat tempat-tempat, kesan-kesan peninggalan Syiah dulu.
Kembali kepada sejarah, dulu Mesir diperintah oleh (Syiah) Fathimiyyah. Fathimiyyah adalah negara Syiah. Dia yang mengasaskan Al-Azhar. Al-Azhar itu kembali kepada nama Fathimah Al-Zahra’, isteri Ali bin Abi Thalib. Dari situ asal nama Al-Azhar.
Kenapa Syaikh-Syaikh Al-Azhar masih lagi memakai jubah berwarna hitam di mana pelajar-pelajar kita apabila balik dari Mesir mereka terkesan dan dia pun pakai. Kenapa jubah warna hitam? Kerana hendak menyatakan kesedihan, berkabung atas kematian Al-Husain. Kopiah yang mereka pakai; putih atasnya merah, putih itu melambangkan kesucian Al-Husain, merah itu melambangkan darah Husain yang ditumpahkan. Kesan-kesan ajaran Syiah itu masih ada lagi.
NABI MENINGGALKAN PETUNJUK UNTUK DIIKUTI
Itulah sedikit sebanyak gambaran yang dapat kita berikan dan kalau kita kembali kepada hadis, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam telah memberikan kepada kita petunjuk kalau berlakunya fitnah besar seperti ini. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan,
إِنَّ بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ فِتَنًا كَقِطَعِ اللَّيْلِ الْمُظْلِمِ، يُصْبِحُ الرَّجُلُ فِيهَا مُؤْمِنًا وَيُمْسِي كَافِرًا وَيُمْسِـي مُؤْمِنًا وَيُصْبِحُ كَافِرًا، اَلْقَاعِدُ فِيهَا خَيْرٌ مِنَ الْقَائِمِ وَالْقَائِمُ خَيْـرٌ مِنَ الْمَاشِي، وَالْمَاشِي فِيهَا خَيْرٌ مِنَ السَّاعِي، فَكَسِّرُوا قِسِيَّكُمْ وَقَطِّعُوا أَوْتَارَكُمْ وَاضْرِبُوا بِسُيُوفِكُمُ الْحِجَارَةَ، فَإِنْ دُخِلَ عَلَى أَحَدِكُمْ فَلْيَكُنْ كَخَيْرِ ابْنَيْ آدَمَ
“Sesungguhnya apabila hampir datangnya hari Kiamat akan muncul banyak fitnah umpama malam yang gelap gelita, pada paginya seseorang itu beriman dan petangnya dia kafir, dan pada petangnya seseorang itu beriman manakala paginya dia kafir. Orang yang duduk ketika itu (ketika berlakunya fitnah) lebih baik daripada orang yang berdiri, dan orang yang berdiri ketika itu lebih baik daripada orang yang berjalan dan orang yang berjalan ketika itu lebih baik daripada orang yang berlari. Maka patahkanlah panah-panah kalian, putuskanlah tali-tali pemanah kalian dan pukullah pedang-pedang kalian ke batu. Jika salah seorang dari kalian dimasuki (dimasuki fitnah atau ada seorang yang ingin membunuhnya), hendaklah dia menjadi seperti yang terbaik di antara dua anak Adam (Habil).’” (Sahih. Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah, al-Hakim)
Rasulullah mengatakan orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri, yang berdiri lebih baik daripada yang berjalan dan berlari. Berjalan dan berlari yang dimaksudkan adalah berlari untuk menyertai fitnah itu. Rasulullah perintahkan supaya patahkan anak panah, pukul pedang ke batu, maknanya rosakkanlah senjata kamu. Hendaklah dia menjadi yang terbaik di antara dua anak Adam iaitu merujuk kepada peristiwa dua anak Adam di mana seorang itu membunuh saudaranya. Maknanya dalam fitnah, كُن عبد الله المَقْتُول وَلَا تَكُن عبد الله القَاتِل (hendaklah kamu jadi hamba Allah yang terbunuh dan jangan jadi hamba Allah yang membunuh).
Ini berbeza sama sekali dengan apa yang rata-rata masyarakat Islam lakukan. Apabila ada fitnah, bahkan diseru oleh Syaikh mereka (Dr Yusuf Al-Qaradhawi), apabila pihak tentera di bawah pimpinan Al-Sisi hendak mengnyahkan pendemonstrasi yang berkumpul/berkhemah di dataran, apa nasihat Dr. Yusuf Al-Qaradhawi? Dia mengatakan ‘Pada hari Jumaat akan datang hendaklah semua kaum Muslimin yang laki-laki dan juga perempuan, yang kanak-kanak dan juga bayi hendaklah semua keluar berhimpun di tempat perkhemahan-perkhemahan ini’.
Ini bercanggah sama sekali dengan pesan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam apabila berlakunya fitnah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis sahih riwayat Abu Daud bersabda,
الْزَمْ بَيْتَكَ وَامْلِكْ عَلَيْكَ لِسَانَكَ وَخُذْ بِمَا تَعْرِفُ وَدَعْ مَا تُنْكِرُ وَعَلَيْكَ بِأَمْرِ خَاصَّةِ نَفْسِكَ وَدَعْ عَنْكَ أَمْرَ الْعَامَّةِ
“Lazimilah rumah kamu, tahanlah lidahmu, ambil apa yang kamu tahu dan tinggalkan yang kamu tidak tahu, dan jagalah urusan dirimu secara khusus dan tinggalkanlah urusan masyarakat.” (Riwayat Abu Daud)
Apabila berlaku fitnah, berlakunya pembunuhan, pertumpahan darah, pergolakan, pertempuran dengan pemerintah atau sesama umat Islam, Rasulullah berpesan supaya kita duduk dalam rumah, dan jaga mulut. Jangan berkata-kata, jauh sekali memberi fatwa atau pandangan sendiri “Aku melihat dalam isu Mesir ini, rakyat Mesir perlu jihad!” macam ada seorang Ustaz kita ni. Jihad pakai apa Syeikh? Pakai batu, sepanduk, hailer, mikrofon? Itu jihad apa, itu melalak.
Lalu Rasulullah mengatakan hendaklah kamu ambil apa yang kamu tahu dan tinggalkan yang kamu tidak tahu, jaga maslahat dirimu dan tinggalkan urusan masyarakat dan kenegaraan. Ini dalam keadaan fitnah di mana kita sudah tidak tahu siapa benar siapa salah. Berlaku pembunuhan dan kerajaan menyalahkan pendemonstrasi dan pendemonstrasi salahkan kerajaan. Ini normal apabila terjadinya fitnah. Tetapi dengan siapa kita hendak berpihak? Rasulullah pesan, sibukkan dengan diri kamu masing-masing dan tinggalkan urusan masyarakat.
Tetapi walau bagaimanapun Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah sekalian, berapa ramai yang terus beramal dengan pesanan-pesanan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam? Berapa ramai yang menerima pesanan-pesanan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam supaya terus dengar dan patuh kepada pemerintah walaupun dia zalim, supaya jangan terjerumus di dalam fitnah, supaya menyelamatkan diri dan agama masing-masing ketika berlaku fitnah, supaya melazimi rumah-rumah yakni jangan keluar rumah? Kalau ada senjata Rasulullah suruh patahkan, kalau ada pedang Rasulullah kata tumpulkan dengan memukulnya ke batu. Kenapa Rasulullah suruh begitu? Kerana dikhuatiri kita akan terbawa-bawa dan terjebak ke dalam fitnah lalu tidak semena-mena kita turut membunuh sesama umat Islam.
MENGIKUT AJARAN ISLAM DILIHAT GANJIL
Tetapi inilah Sunnatullah, di akhir zaman, inilah keadaan umat Islam rata-ratanya. Bertepatan dengan hadis sahih,
بَدَأَ اْلإِسْلاَمُ غَرِيْبًا وَسَيَعُوْدُ غَرِيْبًا كَمَا بَدَأَ، فَطُوْبَى لِلْغُرَبَاءِ
“Islam itu bermula dalam keadaan ganjil, dan ia akan kembali dalam keadaan ganjil seperti mana ia bermula, maka gembiralah bagi orang-orang yang ganjil.” (Riwayat Muslim)
Maka jangan kita hairan apabila kita menyeru kepada sunnah Nabi supaya taat kepada pemerintah dan jangan melawan pemerintah, bukan kerana kita bersetuju dengan pemerintah kalau benar dia zalim, kita tidak bersetuju, tetapi kita berkata begitu kerana ia sejajar dengan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah, orang berkata bahawa kita adalah pengampu kerajaan, penjilat, dapat projek, dapat habuan dan sebagainya. Anggaplah ini adalah lumrah.
Kalau kita merasa pelik kerana yang berkata demikian bukan orang-orang biasa, bahkan kononnya ilmuwan juga, kenapa, adakah mereka tidak membaca hadis-hadis Nabi? Jawapannya ya, kerana sunnah itu sudah menjadi ganjil. Maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan فَطُوْبَى لِلْغُرَبَاءِ (maka bergembiralah bagi orang-orang yang ganjil) yakni orang-orang yang terus berpegang dengan Sunnah, orang-orang yang terus melazimi manhaj Salaf Al-Soleh, di mana dalam riwayat lain Rasulullah menjelaskan tentang sifat mereka ketika sahabat bertanya,
يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ الْغُرَبَاءُ قَالَ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ إِذَا فَسَدَ النَّاسُ
“Wahai Rasulullah, siapakah orang-orang yang ganjil itu?” Baginda menjawab, “Orang-orang yang terus melakukan amalan soleh ketika masyarakat telah rosak.” (Sahih. Riwayat Ahmad)
Dalam riwayat lain yang juga sahih dan diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Rasulullah menjelaskan lagi sifat orang yang ganjil,
قَوْمٌ صَالِحُونَ قَلِيلٌ فِي نَاسِ سَوْءٍ كَثِيرٍ، مَنْ يَعْصِيهِمْ أَكْثَرُ مِمَّنْ يُطِيعُهُمْ
“Kaum yang soleh yang sedikit di kalangan masyarakat yang buruk yang ramai, orang yang melawan mereka lebih ramai daripada orang yang mengikut mereka.” (Sahih. Riwayat Ahmad)
Maka jangan kita hairan kalau nasihat-nasihat yang kita beri kepada masyarakat, pesanan-pesanan Nabi yang kita sampaikan kepada mereka, mereka tolak, mereka mengingkarinya dengan cemuhan dan berbagai-bagai lagi, jangan kita merasa pelik. Ini adalah Sunnatullah di dalam ciptaanNya.
PESAN ULAMA
Di antara pesanan yang diberikan oleh para Ulama dalam keadaan fitnah seperti ini, Ulama berpesan supaya kita jangan marah dan jangan kita terburu-buru. Apabila berlaku sesuatu fitnah, jangan kita cepat marah dia salah dia betul, dan jangan kita terburu-buru hendak memberikan pendapat ataupun hukum. Sebaliknya kita perlu bertindak dengan hemah, berpada-pada, dan hendaklah kita serahkan urusan fatwa kepada para Ulama.
Perkara-perkara besar seperti ini, fitnah-fitnah seperti ini bukan untuk semua orang memberi komen. Tetapi dukacitanya, ini sejajar dengan agenda musuh Islam juga, mereka menggunakan berbagai-bagai media baru, Facebook, Twitter, Youtube. Kita kena faham bahawa ini adalah senjata serampang dua mata. Kita boleh gunakan untuk kebaikan tetapi dalam masa sama ia boleh bertindak balas ke atas kita kalau kita tidak menggunakannya dengan baik.
Dan apa yang kita khuatir memang berlaku. Ramai yang memberi komen tentang isu ini masyaAllah macam dia Syaikhul Azhar, macam dia Ulama besar, “Aku rasa ini betul, aku rasa ini salah.” Kita kata hendaklah kamu mengasihani dirimu, jangan kamu tempah tempatmu di dalam api Neraka. Ini kerana Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لاَ يُلْقِى لَهَا بَالاً يَهْوِى بِهَا فِى جَهَنَّمَ
“Seorang hamba barangkali mengucapkan kata-kata yang dimurkai Allah tanpa dia terfikir bahayanya lalu kerana kata-kata itu dia dihumban ke dalam Neraka.” (Riwayat Al-Bukhari)
Dalam riwayat Muslim Baginda bersabda,
إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مَا يَتَبَيَّنُ مَا فِيهَا يَهْوِى بِهَا فِى النَّارِ أَبْعَدَ مَا بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ
“Seorang hamba yang mengucapkan kata-kata yang dia tidak fikirkan bahayanya sehingga kerana kata-kata itu dia dihumban ke dalam Neraka yang dalamnya lebih jauh daripada timur dan barat.” (Riwayat Muslim)
Maka kerana itu, dalam perkara fatwa yang membabitkan urusan semasa, fiqhul waqi’, hendaklah diserahkan kepada Ulama-ulama besar. Barangkali timbul masalah juga sekiranya kita tidak faham manhaj maka kita tidak akan faham juga siapa Ulama. Maka kita khuatir kita akan terikut dengan دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ (pendakwah-pendakwah yang menyeru ke pintu-pintu Neraka). Jadi kita kena berhati-hati dengan siapa kita menuntut ilmu dan kepada siapa kita kembali dalam merujuk kepada fatwa.
Tapi Alhamdulillah, para Ulama yang berdiri di atas manhaj Salaf pada hari ini terus ramai, dipimpin oleh Syaikh Dr. Soleh bin Fauzan Al-Fauzan, Syaikh Soleh bin Muhammad Al-Luhaidan, Syaikh Rabee’ bin Haadi Al-Madkhali, mufti di Madinah Muhammad bin Haadi Al-Madkhali, ramai masyaikh di Madinah, Syaikh ‘Ubaid Al-Jabiri, Syaikh Abdul Muhsin Al-‘Abbad, dan ramai lagi.
Masyaikh-masyaikh ini cukup ramai, cuma masalahnya kita kena tahu bahawa usaha keras diambil untuk menutup nama mereka ini supaya jangan dikenali oleh masyarakat Islam awam. Sebaliknya دُعَاةٌ عَلَى أَبْوَابِ جَهَنَّمَ (pendakwah-pendakwah yang menyeru ke pintu-pintu Neraka) ini yang ditonjolkan, yang mana fatwa-fatwa mereka dihebahkan oleh media massa yang dikawal oleh Barat juga. Maka kita kena hati-hati dengan siapa kita mengambil fatwa dan dengan siapa kita ikut.
-Tamat rakaman-
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
(Disalin dari rakaman audio: menjawab persoalan isu Mesir, 29.08.2013)