HATI YANG BAIK PASTI MENZAHIRKAN PENAMPILAN YANG BAIK

Abu Omar, Idris bin Sulaiman
(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam, hadis ke-30, 16.04.2013)
Hadis 30: Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu menuturkan: Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
الفطرةُ خمسٌ : الاختتانُ ، والاستحدادُ ، وقصُّ الشَّاربِ ، وتقليمُ الأظفارِ ، ونتفُ الإبطِ
“Fitrah (yang berupa amalan) ada lima: (iaitu) khitan, mencukur bulu kemaluan, menggunting misai, memotong kuku, dan mencabut bulu ketiak.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

pelihara janggutFaedah ke-4 dari hadis di atas:
Perbuatan sebahagian daripada masyarakat Islam yang memanjangkan kukunya ataupun memanjangkan misainya adalah perbuatan yang bercanggah dengan Syarak. Bahkan ia dianggap sebagai perbuatan yang jelik dan tidak dapat diterima oleh fitrah yang baik, boleh dianggap sampai jijik.
Syarak Islam sentiasa menuntut kepada apa yang baik dan melarang apa juga yang tidak baik. Perbuatan meniru-niru dan terikut-ikut dengan orang kafir inilah yang menyebabkan sebahagian daripada Umat Islam sehingga bukan sahaja menolak apa yang dituntut oleh Agama, bahkan menolak apa yang dituntut oleh fitrah sehingga mereka mengambil apa yang dibawakan oleh Barat, meniru-niru perbuatan orang kafir.
Sedangkan dalam Syarak secara prinsipnya menuntut kita orang Islam supaya jangan meniru orang kafir. Umat Islam dituntut menjaga fitrah seperti mana yang disebut dalam hadis tadi, dan dalam hadis lain menuntut supaya kita jangan meniru orang kafir, seperti mana hadis hasan yang diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmidzi, sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا
“Bukan tergolong daripada kami siapa yang menyerupai selain kami.” (Riwayat Al-Tirmidzi. Dinilai hasan oleh Syaikh Al-Albani)
‘Selain kami’ yang dimaksudkan dalam hadis ini adalah orang-orang kafir. Dalam hadis yang sahih diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
“Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia tergolong daripada mereka.” (Riwayat Ahmad dan Abu Dawud. Syaikh Al-Albani menilai hadis ini sahih dalam Irwa-ul Ghalil)
Apabila Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan dia tergolong daripada mereka, apa hukum yang dapat kita ambil? Atau dalam erti kata lain, apa hukum meniru atau menyerupai orang kafir?
Hadis sahih yang disebutkan tadi menunjukkan bahawa perbuatan meniru orang kafir (di dalam perkara-perkara yang khas buat mereka dan menjadi identiti mereka) hukumnya yang paling kurang adalah maksiat, kalau terselamat daripada jatuh di dalam bid’ah ataupun jatuh kafir.
Kalau sampai meniru di dalam urusan-urusan ibadahnya, ia boleh jatuh kafir. Maka hukum minimumnya adalah maksiat. Ini dari segi hukum Syarak yang melarang orang Islam meniru orang kafir.
Namun dalam masa yang sama kita juga mengetahui hakikat realiti bahawa sebahagian daripada orang Islam pasti akan meniru orang kafir. Ini adalah sebahagian daripada Sunnatullah Al-Kauniyah (ketetapan takdir Allah dalam alam), bahawa orang Islam akan meniru orang kafir sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Muslim,
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِى جُحْرِ ضَبٍّ لاَتَّبَعْتُمُوهُمْ , قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ : فَمَنْ
“Sesungguhnya kalian akan mengikuti orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, bahkan sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak pun pasti kalian akan turut mengikutinya.” Kami (para sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Siapa lagi?” (Riwayat Muslim)
Realiti yang berlaku pada hari ini jelas menunjukkan sebahagian daripada mukjizat Rasulullah. Apa yang disebutkan oleh Rasulullah 1400 tahun lepas yang pada ketika itu tidak ada tasyabbuh (penyerupaan) kepada orang kafir kerana para sahabat semuanya setia beriltizam dengan Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, jauh sekali tasyabbuh dengan orang kafir, tetapi pada hari ini jelas apa yang disebutkan oleh Rasulullah telah menjadi kenyataan kerana sebahagian besar daripada orang-orang Islam mereka dengan mudah bahkan ada di kalangan mereka yang bangga meniru dan terikut-ikut dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang kafir Yahudi dan Nasrani.
MEMANJANGKAN MISAI DAN MENCUKUR JANGGUT
Antara contohnya adalah seperti yang kita sebutkan tadi; memanjangkan misai dan mencukur janggut, ataupun mencukur misai dan mencukur janggut. Jelas kedua-duanya salah, kerana hal ini bercanggah dengan hadis yang disebut oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam riwayat Bukhari dan Muslim di mana Rasulullah secara jelas mengatakan,
خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ، وَفِّرُوا اللِّحَى وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ
“Selisihilah orang-orang Musyrikin, biarkanlah (panjangkanlah) janggut dan potonglah misai.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ini yang kita katakan tadi. Ada rambut yang dituntut supaya kita mencukurnya (bulu kemaluan), ada yang dituntut supaya kita mengguntingnya (misai), ada yang dituntut supaya kita mencabutnya (bulu ketiak), dan ada yang dituntut supaya kita membiarkannya (janggut). Dalam urusan janggut, dituntut supaya kita membiarkannya, memanjangkannya, melebatkannya. Adapun misai, dituntut supaya kita memotongnya (memendekkannya – bukan mencukur).
Kesalahan pertama perbuatan mereka yang mencukur janggut atau mencukur misainya adalah mereka menyerupai orang kafir. Kedua, mereka menyerupai perempuan di mana fitrah kejadian perempuan adalah tidak ada janggut dan misai. Jadi perbuatan mencukur janggut dan misai adalah perbuatan menyerupai kaum Hawa. Sedangkan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
لَعَنَ اللهُ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
“Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Riwayat Bukhari)
Hal ini kalau kita lihat pada hari ini memang banyak, dan ia dilarang dalam Agama. Bahkan perbuatan itu dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Kesalahan yang ketiga, perbuatan itu menukar ciptaan Allah tanpa kita sedar. Ini kerana Allah menciptakan lelaki dengan janggut dan misai. Sengaja atau tidak sengaja? Tentu sahaja dengan sengaja, buktinya adalah Allah menjadikan wanita tanpa janggut dan tanpa misai. Ini adalah ciptaan Allah.
Jadi perbuatan mencukur janggut atau mencukur misai bukan sahaja bercanggah dengan Syarak bahkan menukar ciptaan Allah. Hal ini ditegah sebagaimana dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim,
لَعَنَ اللَّهُ الوَاشِمَاتِ وَالمُوتَشِمَاتِ، وَالمُتَنَمِّصَاتِ وَالمُتَفَلِّجَاتِ، لِلْحُسْنِ المُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
“Allah melaknat orang yang mentatoo, yang minta ditatoo, yang mencabut alis, … dan golongan yang mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat Bukhari)
Perbuatannya berdosa, bahkan dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Kesalahan keempat adalah perbuatan itu jelas bercanggah dengan Sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini kerana Baginda seperti mana dalam hadis yang disebutkan tadi menuntut supaya kita memanjangkan dan melebatkan janggut serta memendekkan misai.
KESEMUA MAZHAB FEKAH SEPAKAT LARANGAN MEMENDEKKAN/MENCUKUR JANGGUT
Pelik tapi benar, masyarakat mendakwa bahawa mereka mengikut sebahagian daripada mazhab-mazhab fekah. Kalau di Malaysia mereka mengatakan bahawa mereka mengikut mazhab Syafi’i, kalau di tempat lain mereka mengikut mazhab Hanafi, Maliki, atau Hanbali.
Pelik tapi benar, kesemua mazhab-mazhab fekah bersepakat mengatakan bahawa perbuatan mencukur janggut dan misai adalah perbuatan maksiat. Tidak ada satu mazhab pun yang membolehkannya atau mengharuskannya.
Apa alasan mereka melakukan itu, kita pun tertanya-tanya. Sedangkan mereka mendakwa bahawa mereka berpegang dengan mazhab. Hadis Rasulullah jelas, bahkan pendapat mazhab juga jelas. Bagi mereka yang berpegang atau ta’assub dengan mazhab, kita bertanya kepada mereka, mereka mengikut siapa?
Jelas bahawa dakwaan mereka yang mengatakan bahawa mereka mengikut mazhab adalah dakwaan semata-mata sedangkan hakikatnya mereka terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan amalan orang-orang kafir.
MEMAKAI TALI LEHER
Juga boleh kita kategorikan perbuatan meniru orang kafir bukan sahaja dalam mencukur janggut dan misai, tetapi juga dalam perbuatan memakai tali leher. Ini sudah dianggap satu benda yang lazim. Sedangkan perbuatan memakai tali leher adalah bercanggah dan sama sekali tidak dibenarkan dalam Syarak kerana ia juga termasuk dalam perbuatan meniru orang kafir.
Ia jelas adalah pakaian orang kafir; Yahudi dan Nasrani. Itu Syiar mereka. Sama sekali jangan seorang itu mengatakan bahawa apa yang penting dalam pakaian adalah niat hati kita. Jangan sama sekali mengatakan pakaian zahir tidak penting, apa yang penting adalah niat kita baik.
Ini adalah satu syubhat yang biasa kita dengar. Mereka mengatakan bahawa niat dan hati mereka baik walaupun zahir mereka tidak baik. Mereka cuba membenarkan dan mengharuskan apa yang mereka lakukan.
Kita mengatakan bahawa kalau benar hati itu baik, maka luarnya pun akan jadi baik. Seperti mana kalau seseorang itu zahirnya baik, itu menjadi tanda atau petunjuk bahawa hatinya adalah baik. Hubungkait antara zahir dan batin sangat rapat. Hal ini seperti mana hadis riwayat Bukhari dan Muslim, sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam,
أَلاَ وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ الْقَلْبُ
Sesungguhnya di dalam jasad manusia itu terdapat segumpal daging. Apabila ia baik (maka) baiklah seluruh tubuhnya. Dan apabila ia rosak (maka) rosaklah seluruh tubuhnya. Ketahuilah ia adalah jantung (hati).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maka kalau benar hatinya baik, patuh dengan Syariat Allah, ikhlas kerana Allah, maka pasti pakaiannya seperti mana tingkah laku akhlaknya, pertuturannya, sikapnya juga akan baik. Zahir menjadi petanda bagi batin.
Syarak menuntut supaya kita menjaga zahir kita seperti mana Syarak menuntut supaya kita menjaga batin kita. Kesemua fitrah yang disebutkan dalam hadis di awal tadi menunjukkan zahir atau batin? Adakah seseorang itu boleh mengatakan bahawa dia memanjangkan kuku, membiarkan bulu ketiak panjang, membiarkan misai sampai menutup mulut, tetapi dia mengatakan niat dia baik, hatinya suci dan bersih? Adakah dakwaannya itu boleh diterima? Jawapannya adalah hadis yang disebutkan tadi, bahawa kalau benar hatinya baik, niatnya bersih dan suci, berpegang dengan fitrah, dia tidak akan lakukan apa yang dia telah lakukan.
MEMASUKKAN BAJU DALAM SELUAR
Juga antara tanda-tanda menyerupai orang kafir adalah perbuatan memasukkan baju di dalam seluar (tuck in). Ini juga perlu kita perhatikan. Kita kena serius. Kita tidak boleh bersikap sambil lewa. Perbuatan lalai dan leka di dalam urusan zahir kita, akhirnya ia akan terkesan dalam jiwa, hati, dan niat kita.
Tidaklah amalan zahir itu melainkan ia datang dan bermula daripada batin kita. Maka kalau perbuatan seseorang itu meniru-niru orang kafir, itu menjadi petanda bahawa dia sebenarnya lebih cenderung kepada orang kafir –wal ‘iyyadzu billah- daripada dia hendak terus berpegang dengan Syariat Islamnya.
Barangkali ada yang menganggap perbuatan memasukkan baju di dalam seluar adalah isu remeh. Kita mengatakan bahawa di dalam Syariat Islam tidak ada satu pun benda yang remeh. Buktinya adalah kelima-lima perkara fitrah yang kita sebutkan tadi.
Barangkali ada yang menganggap remeh perbuatan memanjangkan kuku. Tetapi kita mengatakan itu bercanggah dengan Syarak. Tidak ada satu pun yang boleh dianggap remeh kalau ia dituntut di dalam Agama.
Perbuatan memasukkan baju di dalam seluar bercanggah dengan tuntutan Syarak supaya seseorang itu menutup auratnya. Barangkali ada yang tertanya, orang itu memakai seluar, bahkan memakai baju. Kita mengatakan bahawa kalau dia memasukkan baju di dalam seluar, dia tidak menutup auratnya seperti mana yang sepatutnya.
Ini kerana apabila Syariat menuntut supaya menutup aurat, bukan sahaja menutup batas-batas aurat itu dengan kain. Adakah itu sahaja syaratnya? Tidak. Bahkan seperti mana yang dihimpunkan oleh Syeikh Al-Albani rahimahullah di dalam kitabnya yang dianggap sebagai satu-satunya kitab yang tidak ada semisalnya, iaitu kitab Jilbab Al-Mar-atu Al-Muslimah (Jilbab Wanita Muslimah), buat pertama kali dalam sejarah kesarjanaan Islam, kitab ini telah menghimpunkan syarat-syarat pakaian seorang Muslim di dalam satu kitab. Ini adalah kitab yang pertama.
Kalau dulu Ulama-ulama telah membincangkannya tetapi belum pernah dihimpunkan kesemuanya, tetapi buku ini telah menghimpunkan kesemuanya bukan sahaja di dalam satu kitab tetapi juga di dalam satu bab, dan dibahaskan syarat itu satu persatu.
Syaikh Albani menyebutkan syarat pertama adalah menutup aurat, seperti mana yang kita faham. Kalau lelaki daripada pusat sampai ke lutut. Kalau perempuan seluruh tubuhnya kecuali wajah dan kedua tangannya. Ini yang cuba dibahaskan dalam kitab ini secara khasnya, kerana ada pendapat yang mengatakan bahawa kesemua tubuh wanita itu adalah aurat.
Syaikh Albani menekankan bukan perlu menutup aurat sahaja. Perlu dipastikan bahawa pakaian menutup aurat itu tidak jarang. Kalau seseorang itu memakai kain tetapi jarang, adakah ia dikategorikan sebagai menutup aurat? Tidak akan ada seorang pun yang mengatakan dia menutup aurat.
Bukan sahaja jangan jarang, tetapi apa yang kita hendak tekankan di dalam poin ini adalah jangan sehingga menampakkan bahagian aurat. Perbuatan memasukkan baju di dalam seluar akan menampakkan bentuk bahagian auratnya, khususnya ketika rukuk dan sujud.
Syarak tidak membezakan antara pakaian harian dengan pakaian solat. Secara prinsipnya, apabila seseorang itu keluar dari rumahnya, pakaiannya adalah sama. Berbeza dengan sesetengah orang yang apabila hendak solat dia terpaksa terhegeh-hegeh ke sana ke sini mencari sarung. Ini adalah satu perbuatan baru yang tidak ada asal usulnya di dalam Syarak. Di dalam Syarak tidak ada pakaian di dalam solat dan pakaian di luar solat.
PAKAIAN ORANG AGAMA
Bahkan ada juga ungkapan-ungkapan yang kalau kita perhatikan bercanggah dengan Syarak. “Pakaian orang Agama.” Mungkin ada yang melihat saya memakai jubah ini dia mengatakan bahawa Ustaz memakai pakaian orang Agama. Perhatikan. Jangan selepas ini ada yang menggunakan istilah ini – Pakaian orang agama.
Adakah orang yang tidak memakai jubah bererti pakaiannya adalah ‘Pakaian orang yang tidak ada agama’?? Ini parah. Tanpa kita sedar, kita menggunakan istilah-istilah yang sebenarnya bercanggah dengan Syariat.
(Disalin dari rakaman kuliah Umdatul Ahkam, hadis ke-30, 16.04.2013)