Membatalkan pahala orang Islam boleh termasuk perbuatan takfir

 Abu Omar, Idris bin Sulaiman

( Teks disediakan berdasarkan petikan rakaman kuliah Syarah Al-Sunnah, Perkara 20, Bab Beriman Dengan Syafaat Bagi Orang Berdosa yang Bersalah: http://www.mediafire.com/?7x0hl8dy2kl2zks )
membatalkan amal orang islam
Terdapat golongan yang menyimpang di dalam masalah memahami maksud Syafaat. Golongan yang dimaksudkan ini adalah golongan Khawarij dan Muktazilah, di mana bagi mereka, orang-orang Islam yang melakukan dosa besar tidak layak mendapat Syafaat di Hari Akhirat kelak, tidak kira daripada sesiapa pun.
Mereka mengingkari Syafaat bagi orang-orang Islam yang melakukan dosa-dosa besar dan kemaksiatan. Ini kerana memang prinsip mereka bahawa pelaku dosa-dosa besar itu jatuh kafir. Maka jelas, kalau seseorang itu jatuh kafir, memang orang-orang kafir itu tidak layak mendapat Syafaat.
Di sini timbul perselisihan di antara Ahli Sunnah wal Jamaah dengan Khawarij dan Muktazilah; adakah pelaku-pelaku dosa besar itu jatuh kafir? Saya melihat bahawa perselisihan ini berlaku secara terus menerus. Bahkan baru-baru ini ada satu kenyataan dari seorang tokoh Tuan Guru kita di mana kenyataannya itu membawa kepada takfir sebenarnya. Cuma kenyataannya itu pusing kanan sikit, pusing kiri sikit, tidak nampaklah takfir itu secara jelas.
Kita tidak mahu masuk dalam politik, tetapi kita katakan bahawa kenyataannya itu adalah kenyataan yang berunsur Khawarij, di mana dia mengatakan lebih kurang bahawa “Solat orang Umno tidak dapat pahala.”
Apa maksudnya itu? Kalau kita perhati dan faham betul-betul, itu adalah kenyataan mengkafirkan. Kenapa? Solat orang Umno (orang Islam) tidak bawa pahala, bila tidak bawa pahala bererti solatnya tidak sah.
Timbul persoalan di sini kenapa tidak sah? Adakah dia membicarakan tentang syarat-syarat sah solat tidak cukup, adakah orang Umno solat tidak ambil wudhuk, tidak menghadap kiblat, tidak menutup aurat? Adakah dia membincangkan tentang itu?
Jawapannya tidak. Tetapi jawapan yang dia sebut ialah orang Umno tolak Islam, orang Umno beramal dengan perlembagaan sekular. Dengan erti kata orang Umno tidak berhukum dengan hukum Allah. Dan ini memang Syiar orang Khawarij, iaitu barangsiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka adalah orang-orang kafir.
Nampak bahawa fahaman orang-orang Khawarij dan Muktazilah terus berkembang subur, terus ada di kalangan orang-orang Islam sehinggalah ke hari ini bahkan sehinggalah ada di negara kita slogan-slogan dan kenyataan-kenyataan mereka.
Jadi apakah hujah orang-orang Khawarij dan juga Muktazilah yang mengingkari Syafaat bagi pelaku-pelaku dosa besar dari kalangan orang Islam? Di antara hujah mereka adalah Surah Al-Muddatstsir ayat ke-44 di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,
فَمَا تَنْفَعُهُمْ شَفَاعَةُ الشَّافِعِينَ
“Maka tidak akan berguna kepada mereka Syafaat dari orang-orang yang memberikan Syafaat.” (Surah Al-Muddatstsir, 74: 48)
Mereka mengatakan bahawa tidak akan berguna Syafaat atau pertolongan sesiapa pun kepada mereka. Orang-orang Khawarij mengertikan bahawa ‘mereka’ di dalam ayat ini adalah pelaku-pelaku dosa besar. Maka terkena pada pelaku dosa besar ayat dalam Surah Al-Muddattsir ayat ke 48.
Sedangkan adakah begitu maksud ayat ini? Tidak, sebaliknya ayat ini adalah khas buat orang-orang kafir. Maka akhirnya ayat yang diturunkan ke atas orang kafir, mereka mengadaptasikannya ke atas orang-orang Islam.
Ini bahaya pemikiran orang-orang Khawarij. Mereka mengkafirkan orang-orang Islam, bahkan sehingga menghalalkan darah mereka, menghalalkan harta mereka, dan sudah tentulah membatalkan amal ibadah mereka dengan sewenang-wenangnya atas alasan bahawa mereka telah jatuh kafir kerana tidak berhukum dengan hukum Allah.
Wallahu a’lam