IBU BAPA BEKERJA & MENINGGALKAN ANAK DI BAWAH JAGAAN ORANG LAIN

 


Ustaz Abu Omar, Idris bin Sulaiman
(Petikan rakaman kuliah Riyadhus Salihin, Bab 248, Zikir Pagi & Petang, penjelasan hadis ke-1463, minit 00:38:35 – 00:50:36, 17.05.2013)
Hadis ke-1463:
Dari Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam jika masuk waktu petang, Baginda membaca,
أَمْسَيْنَا وَأَمْسَى الْمُلْكُ للهِ، وَالْحَمْدُ للهِ، لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، رَبِّ أَسْأَلُكَ خَيْرَ مَا فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ وَخَيْرَ مَا بَعْدَهَا، وَأَعُوذُبِكَ مِنْ شَرِّ مَا فِي هَذِهِ اللَّيْلَةِ وَشَرِّ مَا بَعْدَهَا، رَبِّ أَعُوذُبِكَ مِنَ الْكَسَلِ وَسُوءِ الْكِبَرِ، رَبِّ أَعُوذُبِكَ مِنْ عَذَابٍ فِي النَّارِ وَعَذَابٍ فِي الْقَبْرِ
“Kami telah memasuki waktu petang dan kerajaan hanya milik Allah, segala puji hanya milik Allah. Tiada Ilah kecuali Allah Yang Esa, tiada sekutu bagiNya. BagiNya kerajaan dan bagiNya segala pujian. Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Tuhanku, aku meminta dariMu kebaikan yang ada pada malam ini dan kebaikan yang ada sesudahnya. Aku berlindung kepadaMu dari kejahatan malam ini dan kejahatan sesudahnya. Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari kemalasan dan kejelekan di masa tua. Wahai Tuhan, aku berlindung kepadaMu dari siksa neraka dan siksa kubur.” (Sahih. Riwayat Muslim)

Petikan dari penjelasan hadis:
apabila mati anak adamMengapa kita memohon perlindungan dari kemalasan dan kejelekan di masa tua (atau kesombongan jika dibaca dengan lafaz الْكِبْر) adalah kerana ia merupakan penghalang bagi seseorang untuk beramal ibadah. Seorang yang di dalam keadaan tua renta, tidak boleh berdiri, tidak boleh berjalan ke masjid, duduk terlantar, tidak mampu lagi qiyamullail, tidak mampu lagi berpuasa kerana sudah tua dan uzur. Lebih parah lagi kalau sudah nyanyuk (pikun), di mana seseorang itu kembali menjadi seperti bayi; tidak tahu bagaimana hendak makan, buang air pun tidak tahu, cuma bezanya sudah tidak comel lagi.
Di dalam hadis, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda,
أعمار أمتي ما بين ستين إلى سبعين وأقلهم من يجوز ذلك
“Umur umatku di antara 60 hingga 70 tahun, dan hanya sedikit di antara mereka yang melebihi umur tersebut.” (Riwayat Al-Tirmidzi, Ibnu Majah, Al-Hakim. Dinilai sahih oleh Al-Albani dalam Silsilah As-Sahihah)
Jika umur lebih daripada 70, 80, ada kebarangkalian dia akan jadi nyanyuk. Maka kerana itu kita diajar untuk meminta perlindungan dari Allah supaya kita tidak menjadi nyanyuk, ataupun supaya Allah mencabut nyawa kita sebelum kita jadi nyanyuk.
Ini kerana kita bukan seperti orang kafir atau Yahudi secara khasnya yang hendak hidup selama-lamanya. Sehingga Allah mengatakan di dalam Al-Quran bahawa mereka ini berharap kalau boleh hendak hidup di dunia ini selama seribu tahun.
يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ
“Mereka masing-masing ingin agar diberi umur seribu tahun.” (Surah Al-Baqarah, 2: 96)
Kita bukan seperti itu. Kita orang Islam beriman bahawa kita hidup di dunia ini sementara sahaja. Dunia ini ibarat untuk kita bercucuk tanam sahaja, untuk kita mendapatkan hasilnya di Akhirat kelak.
Apa yang pasti kita tidak mahu umur kita terlalu panjang sehingga kita menjadi nyanyuk. Ketika nyanyuk nanti kita kembali seperti bayi tetapi tidak comel lagi. Bahkan orang di sekeliling kita mungkin benci kepada kita. Kalau boleh mereka minta dan ternanti-nanti bila kita akan mati. Lebih parah lagi mereka hantar kita ke rumah orang tua.
Anak kita ketika dia bayi kita menjaganya. Tetapi ada jenis anak, apabila ibubapanya nyanyuk, dia tidak mahu menjaganya. Kebiasaannya mereka menghantar ibubapa mereka ke rumah orang tua. Tetapi di sini kalau kita lihat ada sebab musababnya. Ia tidak jadi sebegitu sahaja. Jadi kita perlu berhati-hati di dalam menjaga anak-anak kita. Sebagai ibu dan bapa, kita bertanggungjawab untuk menjaga anak kita.
Kalau semasa anak-anak kita kecil, kita dengan mudah menghantarnya ke nurseri, pusat asuhan, pusat jagaan, taska, dan sebagainya, maka jangan terkejut kalau apabila kita tua nanti anak kita pula menghantar kita ke pusat jagaan. Jangan kita merungut, sebab masa dia kecil kita buat hal yang sama kepadanya.
Tetapi inilah masalahnya kalau ibubapa kedua-duanya bekerja. Kerana sibuk hendak mengejar dunia, akhirnya dengan isterinya sekali disuruh bekerja, keluar rumah, mencari rezki. Masakan tidak, kerana semua benda hendak baru, hendak rumah baru, hendak kereta baru, tetapi semua benda-benda baru memerlukan fulus (duit).
Jadi kerana hendakkan fulus, si suami sahaja bekerja tidak cukup. Akhirnya terpaksalah dia kerahkan segala keringat isteri untuk bekerja. Tetapi, it comes with a price. Ada harga yang terpaksa kita bayar, iaitu akhirnya anak-anak kita tidak dapat kita jaga dengan baik. Kita hendak mengejar dunia, kita hendak mengejar duit, wang ringgit, tetapi akhirnya kita terpaksa menggadaikan anak-anak kita.
Maka akhirnya anak-anak dihantar ke pusat asuhan. Kita menyangka apa yang kita buat ini adalah baik. Nanti bila kita sudah tua, it’s payback time. Itu masanya dia buat balik dekat kita, dia hantar ibu bapanya ke rumah orang tua.
Pada masa itu jangan kita hendak salahkan sesiapa kerana kebarangkalian besar kitalah penyebabnya. Kerana seperti mana kita tidak menjaga anak kita semasa dia kecil, kita sibuk dengan dunia, maka sekarang, pada masa kita tua, itu masa dia pula untuk sibuk mengejar dunia seperti mana kita dulu. Jadi dia tidak ada masa untuk menjaga kedua orang tuanya, maka dengan mudah sahaja dia menghantar ibu bapanya ke rumah orang tua.
Jadi kita minta dijauhkan daripada hal ini. Kalau kita lihat orang-orang kafir khususnya di Barat, memang ini sudah menjadi lumrah. Bahkan mereka melihat bahawa dia berlaku baik kepada kedua orang tuanya kalau dia menghantar ke pusat jagaan yang mewah.
Si anak yang tidak ditarbiyah dengan baik itu melihat bahawa kalau dia menghantar ibubapanya ke pusat jagaan yang ada perkhidmatan yang bagus, itu adalah birrul walidain (berbuat baik kepada kedua orangtua). Tetapi sebenarnya, orang tua bukan hendakkan duit. Kalau dia sudah tua tidak mampu mengurus diri, dia tidak akan lihat lagi pada benda-benda material. Sebaliknya apa yang dia inginkan adalah kasih sayang daripada anak-anaknya.
ANAK-ANAK ADALAH MODAL UNTUK MENDAPAT PAHALA SETELAH MATI
Jadi kita kena ambil perhatian hal ini. Jangan kerana mengejar dunia, kita sehingga menggadaikan tanggungjawab kita khususnya tanggungjawab kita mentarbiyah anak-anak. Kerana percayalah bahawa anak-anak kita adalah ibarat modal untuk amalan kita di Akhirat kelak, sepertimana di dalam hadis,
إِذَا مَاتَ إِبْنُ آدَمَ إِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلاَثٍ: صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ, أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِه, أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُوْ لَهُ
“Apabila mati anak Adam, terputuslah segala amalannya kecuali tiga; sedekah jariah, atau ilmu yang dimanfaatkan, atau anak saleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)
Salah satunya adalah doa anak yang saleh. Tetapi percaya atau tidak, hadis itu khas tetapi apa yang dimaksudkan adalah apa yang lebih umum daripada itu. Bukan sahaja doa daripada anak yang saleh, bahkan segala amalan baik si anak itu, walaupun berdiri sendiri; kalau si anak solat, puasa, membaca Al-Quran, apa sahaja amal ibadah si anak itu, kedua orang tuanya akan mendapat sahamnya.
Bagaimana? Dengan syarat kalau sekiranya orang tua itulah yang mentarbiyahkan anaknya untuk membuat amal ibadah itu. Maknanya orang tua itu yang menjaganya, orang tua itu yang mengajarnya, mentarbiyah dia untuk mengerjakan amalan-amalan soleh. Maka tentu sahaja orang tua itu akan mendapat sahamnya.
Tetapi harus diingat juga, sebaliknya pun begitu juga. Kalau si anak tidak solat, tidak puasa, lebih parah lagi tidak tahu membaca Al-Quran, ini apa sampai baca Al-Quran pun tidak tahu? Percayalah, kedua orang tuanya juga akan bertanggungjawab. Kerana ini memang tanggungjawab orang tua.
Siapa lagi yang akan mengajar si anak itu solat, membaca Al-Quran, berzikir, berdoa dan sebagainya kalau bukan kedua orangtuanya. Maka kalau dia lalai, dia akan bertanggungjawab di hadapan Allah di Hari Akhirat kelak. Si anak itu memang akan menanggung dosanya, tetapi dosa kedua orang tua yang lalai di dalam tanggungjawab mentarbiyah juga akan terpaksa ditanggung oleh kedua orangtuanya.
(Petikan rakaman kuliah Riyadhus Salihin, Bab 248, Zikir Pagi & Petang, penjelasan hadis ke-1463, minit 00:38:35 – 00:50:36, 17.05.2013)