Ustaz Abu Omar, Idris bin Sulaiman
(Sambungan dari tulisan sebelum ini: Yang Diertikan dengan Selawat dan Salam ke atas Nabi)HUKUM BERSELAWAT
Ada beberapa pendapat berkenaan hukum berselawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam;
- Pendapat pertama mengatakan wajib sekali seumur hidup.
- Pendapat kedua mengatakan wajib berselawat apabila ada sebabnya.
- Pendapat ketiga mengatakan selawat itu hukumnya sunat.
LAFAZ SELAWAT KE ATAS NABI
Adapun bagaimana kita hendak berselawat ke atas Nabi, apakah lafaz selawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, hal ini disebutkan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, di mana seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan duduk di depan Rasulullah dan dia berkata,
يا رسولَ اللهِ، هذا السَّلامُ عليك قد عرَفناه ، فكيف الصَّلاةُ عليك ، قال : قولوا اللَّهمَّ صَلِّ على محمَّدٍ وعلى آلِ محمَّدٍ كما صلَّيْتَ على إبراهيمَ وعلى آلِ إبراهيمَ إنَّك حميدٌ مَجيدٌ ، وبارِكْ على محمَّدٍ وعلى آلِ محمَّدٍ كما باركْتَ على إبراهيمَ وعلى آلِ إبراهيمَ إنَّك حميدٌ مَجيدٌ
“Wahai Rasulullah. Adapun tentang memberi salam ke atasmu telah kami ketahui, lalu bagaimana cara berselawat ke atasmu? Rasulullah bersabda: “Ucapkanlah: (Allaahumma salli ‘alaa Muhammad wa ‘ala Aali Muhammad, kamaa sallaita ‘ala Ibrahim wa ‘ala Aali Ibrahim, innaka Hamidun Majid. Wabaarik ‘ala Muhammad wa ‘ala Aali Muhammad kama baarakta ‘ala Ibrahim wa ‘ala Aali Ibrahim innaka Hamiidun Majiid).” (Riwayat Bukhari dan Muslim) Dalam riwayat lain dengan sedikit perbezaan lafaz pada “wa baarik” diganti dengan “Allahumma baarik”.Ini adalah lafaz selawat ke atas Nabi yang paling sempurna dan tidak ada yang lebih sempurna daripada itu. Kalau kita inginkan pahala selawat yang paling sempurna, inilah yang perlu kita baca, iaitu seperti mana yang kita baca di dalam tahiyat sebelum salam. Lafaz itu bukan khas di dalam solat sahaja. Di dalam solat, itu yang wajib kita baca.
Itu yang dinyatakan di awal tadi; selawat menjadi wajib apabila ada sebabnya seperti mana ketika di dalam solat. Maka kita wajib membacanya seperti itu kerana itu yang diajar untuk dibaca ketika di dalam solat secara khasnya.
Maka ketika di dalam solat, kita wajib mengikut lafaz yang diajar, kita tidak boleh mereka-reka lafaz selawat yang lain. Apabila di dalam solat kita telah diajar lafaz selawat yang tertentu dan yang khas maka itu yang perlu dibaca. Dan itulah lafaz yang paling sempurna dan yang paling tinggi pahalanya.
LAFAZ SALAM KE ATAS NABI
Seperti mana di dalam tasyahud yang kita baca setiap kali solat,
التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ السَّلَامُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
“At-Tahiyatu lillahi was-salawatu wat-thayyibaat. Assalaamu ‘alaika ayyuha An-Nabiyyu warahmatullaahi wa barakaatuh.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)Kita sedang memberi salam kepada Nabi apabila kita menyebut “Assalamu ‘alaika ayyuha An-Nabiyyu warahmatullahi wabarakaatuh”. Itu lafaz salam yang diajar oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
Walaubagaimana pun, Ibnu ‘Umar radhiyallahu ‘anhu yang merupakan seorang sahabat yang faqih, sesudah kewafatan Rasulullah dia membaca,
السَّلامُ علَى النَّبيِّ ورحمةُ اللَّهِ وبرَكاتُهُ
“As-Salaamu ‘ala An-Nabiyyi warahmatullaahi wabarakaatuh”.Syaikh Al-Albani rahimahullah melihat bahawa ini yang sepatutnya dibaca. Kerana apabila kita mengatakan “Assalaamu ‘alaika ayyuha An-Nabiyyu” iaitu lafaz asal yang diajar oleh Nabi, perkataan عَلَيْكَ (‘alaika – ke atasmu) maknanya kita berdepan dengan Nabi. Ucapan itu diucapkan apabila orang itu ada di depan (atau bersama) kita.
Itu beza عَلَيْكَ (‘alaika – ke atasmu) dengan علَى النَّبيِّ (‘ala An-Nabiyyi – ke atas Nabi) yang tidak menggambarkan bahawa Rasulullah berada di hadapan kita (tidak berinteraksi secara langsung). Maka setelah kewafatan Baginda, Ibnu Umar membaca dengan lafaz السَّلامُ علَى النَّبيِّ ورحمةُ اللَّهِ وبرَكاتُهُ (As-Salaamu ‘ala An-Nabiyyi warahmatullaahi wabarakaatuh).
Syaikh Albani melihat bahawa mustahil Ibnu Umar mereka-reka sesuatu daripada dirinya sendiri, kerana Ibnu Umar terkenal sebagai orang yang mengikut dan berpegang teguh dengan sunnah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Maka Syaikh Albani rahimahullah seperti dalam kitabnya Sifat Solat Nabi melihat bahawa Ibnu Umar membaca dengan lafaz ini tidak lain dan tidak bukan kerana perintah dari Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini yang dia belajar dari Nabi walaupun tidak ada nas yang menyatakan seperti itu. Itu yang dapat kita fahami daripadanya.
Maka di dalam solat apabila kita tasyahud, kita mengucapkan,
السلامُ على النبيِّ ورحمةُ اللهِ وبركاتُه ، السلامُ علينا وعلى عبادِ اللهِ الصالحينَ ، أشهدُ أنْ لا إلَه إلَّا اللهُ ، وأشهدُ أنَّ محمدًا عبْدُه ورسولُه
(Al-Salaamu ‘ala Al-Nabiyyi warahmatullaahi wabarakaatuh, Al-Salamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibaadillaahi Al-Salihin. Asyhadu an Laa Ilaaha illa Allah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa Rasuuluh).Kemudian disambung dengan lafaz selawat,
اللَّهمَّ صَلِّ على محمَّدٍ وعلى آلِ محمَّدٍ كما صلَّيْتَ على إبراهيمَ وعلى آلِ إبراهيمَ إنَّك حميدٌ مَجيدٌ ، وبارِكْ على محمَّدٍ وعلى آلِ محمَّدٍ كما باركْتَ على إبراهيمَ وعلى آلِ إبراهيمَ إنَّك حميدٌ مَجيدٌ
(Allaahumma salli ‘alaa Muhammad wa ‘ala Aali Muhammad, kamaa sallaita ‘ala Ibrahim wa ‘ala Aali Ibrahim, innaka Hamidun Majid. Wabaarik ‘ala Muhammad wa ‘ala Aali Muhammad kama baarakta ‘ala Ibrahim wa ‘ala Aali Ibrahim innaka Hamiidun Majiid).Jadi kita mengumpulkan kedua-dua di dalam tasyahud; kita memberi salam ke atas Nabi dan kita memberi selawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam.
TIDAK ADA ISTILAH KIRIM SALAM KEPADA NABI
Hakikatnya kalau kita perhatikan tasyahud, banyak yang kita dapat faham. Antaranya dari hadis yang akan kita belajar nanti, tidak ada istilah kirim salam kepada Nabi. Contohnya apabila orang hendak pergi Madinah, kita kirim salam kepada Nabi melalui orang tersebut. Tidak ada istilah kirim salam seperti ini. Kita katakan pada mereka: Setiap hari engkau solat dan engkau memberi salam ke atas Nabi tetapi engkau tidak perasan apa yang engkau buat?
Ada hadis-hadis yang akan datang dan akan kita jelaskan dengan lebih terperinci lagi berkaitan hal ini –insyaAllah-.
WAKTU DISARANKAN UNTUK SELAWAT
Bilakah masanya kita diperintahkan untuk selawat? Atau bilakah masa kita disarankan untuk berselawat ke atas Nabi?
- Di dalam tasyahud seperti yang kita bacakan di awal tadi.
- Di dalam solat jenazah selepas takbir yang kedua. Seperti yang kita sedia maklum, di dalam solat jenazah, paling kurangnya empat takbir. Selepas takbir pertama kita membaca Al-Fatihah dan Surah secara sirr (perlahan), kemudian kita bertakbir kali kedua dan selepas itu membaca selawat seperti lafaz selawat di dalam tasyahud. Itu lafaz selawat yang paling lengkap dan afdhal, walaupun tidak ada masalah untuk kita membaca selawat yang ringkas.
- Selepas azan. Hakikatnya hal ini telah kita pelajari di dalam bab Azan iaitu tentang fadilat-fadilat azan, doa jawab azan, tetapi tidak mengapa kita mengulang sedikit. Selepas azan, ada tiga bacaan yang kita dituntut untuk membacanya, iaitu yang pertama adalah berselawat. Sekali lagi kita ulang, tidak ada masalah kalau kita hendak membaca selawat yang penuh, dan tidak ada masalah kalau kita hendak membaca selawat yang ringkas, maka selepas azan sahaja kita membaca “Allahumma solli ‘ala Muhammad”. Selepas itu baru kita membaca doa selepas azan اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ . Berhenti di situ. Tidak ada lafaz “innaka laa tukhliful mii’aad”. Kemudian bacaan ketiga selepas azan, seperti juga yang diajar oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam riwayat Muslim iaitu kita membaca “Asyhadu an Laa Ilaaha ilallah wahdahu Laa syariika lahu, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa Rasuuluhu. Radhiitu billaahi Rabbaa, wa bi Muhammadin Rasuulaa, wa bil Islaami Diinaa”. (Rujuk bab azan)
- Di dalam doa. Di dalam apa juga doa, kita dituntut supaya berselawat. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengatakan, “Setiap doa itu terhalang sehingga dibacakan selawat ke atas Nabi (oleh orang yang berdoa).” Memang lazim apabila kita berdoa kita membaca وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم di permulaan atau penghujung doa itu.
- Di dalam majlis keramaian, kita juga dituntut berselawat bahkan mengingati Allah, menyebut-nyebut nama Allah, seperti mana di dalam hadis, sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, “Tidaklah ada kaum yang duduk di dalam satu majlis lalu mereka tidak mengingati Allah mahupun berselawat ke atas Nabi melainkan mereka akan mendapat penyesalan (di Akhirat kelak).” (Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi)
- Apabila disebut nama Rasulullah, kita dituntut supaya berselawat. Apabila kita mendengar orang menyebut Nabi, Muhammad, atau Rasulullah, kita menyebut sallallahu ‘alaihi wasallam walaupun orang yang menyebut itu tidak berselawat. Sebagaimana dalam hadis, Rasulullah bersabda, “Orang bakhil adalah orang yang aku disebut di depannya tetapi dia tidak berselawat ke atasku.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmidzi). Ini adalah orang bakhil di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala. Di sisi manusia orang bakhil adalah orang yang kedekut duit atau harta, tetapi di sisi Allah, orang bakhil adalah orang yang apabila disebut Rasulullah dia tidak berselawat.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم
(Disalin dari petikan rakaman kuliah Riyadhus Salihin, Bab 243 Keutamaan Selawat ke atas Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, 08.02.2013)