Institusi Raja Dan Doktrin Syiah

Institusi Raja Dan Doktrin Syiah

Oleh: Dr. Azwira Abdul Aziz
Pusat Pengajian Umum, UKM

Dari sudut bahasa, istilah ‘kerajaan’ berasal daripada perkataan ‘raja’. Hubungan kebahasaan ini memberi gambaran bahawa tidak dinamakan kerajaan tanpa adanya raja. Keabsahan sistem beraja sebagai suatu sistem pemerintahan Islam didasarkan kepada banyak nas-nas Al-Quran dan Sunnah. Antaranya ialah firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “…Kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) kerajaan dan hikmah…”(Al-Baqarah, 2: 251). Dia juga berfirman (maksudnya): “Katakanlah: "Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki…”(Ali ‘Imran, 3: 26).
Manakala Nabi s.a.w. pula bersabda: “Sistem khilafah mengikut manhaj kenabian berterusan di kalangan umatku selama tiga puluh tahun, kemudian diganti oleh sistem beraja, Allah memberikan kerajaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya”. (Abu Daud, no: 4647 dan At-Tarmizi, no: 2226).  Hadith ini dinilai sahih atau hasan oleh Abu Daud, At-Tarmizi, Ibn Taimiyyah, As-Suyuti, Al-Munawi, Al-Albani, Al-Wadi’iyy r.a dan lain-lain.
Dalam hadith lain, baginda juga bersabda (maksudnya): “…Sesungguhnya tiada lagi nabi selepasku, sebaliknya akan ada para khalifah yang ramai, tunaikanlah bai’ah ketaatan mengikut keutamaan siapa yang dulu”. (Al-Bukhari, no: 3455 dan Muslim, no: 1842). Ungkapan ‘yg ramai’ menunjukkan bahawa ia termasuk golongan raja selepas zaman khalifah, kerana Khulafa’ Rasyidin tidak ramai, manakala ungkapan ‘mengikut keutamaan siapa yang dulu’ menunjukkan adanya perselisihan di kalangan para raja, sedangkan Khulafa’ Rasyidin tidak berselisih pendapat sesama mereka. (Majmu’ Fatawa, 35: 20).  
Para pemerintah kerajaan Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah dan Bani Uthmaniyyah memakai gelaran khalifah, meskipun sistem pemerintahan mereka pada hakikatnya adalah sistem beraja yang diwarisi oleh ahli keluarga. Bahkan ramai dari kalangan para anbiya’ seperti Nabi Daud, Sulaiman, Yusuf dan Ibrahim a.s. adalah raja yang memerintah. Allah S.W.T. menganugerahkan mereka dan ahli keluarga mereka sebuah kerajaan yang hebat. Allah S.W.T. berfirman (maksudnya): “…Sesungguhnya Kami telah memberikan Kitab dan hikmah kepada keluarga Ibrahim, dan Kami telah memberikan kepadanya kerajaan yang besar. (An-Nisa’, 4: 54).
Ayat-ayat Al-Quran dan hadith di atas, difahami sebagai satu iqrar (akuan) syara’ bagi sistem beraja. Walau bagaimanapun, pengiktirafan institusi Raja sebagai sistem pemerintahan Islam bukan beerti meredai segala kazaliman yang dilakukan oleh mana-mana raja yang memerintah. Kezaliman tetap kezaliman, tetapi mencegah kezaliman raja bukan dengan cara meruntuh atau menghapuskan institusi berkenaan, sebaliknya melalui cara yang lebih berhikmah.
Kedudukan institusi raja sebagai suatu sistem pemerintahan Islam sering dipertikaikan. Antara kelompok terawal yang mempertikaikan sistem ini ialah golongan Khawarij dan Muktazilah. Menurut Ibn Taimiyyah (M 728 H), pendapat yang lebih sederhana dalam hal ini ialah yang mengatakan sistem beraja itu harus mengikut keperluan atau ia harus jika boleh merealisasikan tujuan pemerintahan. (Majmu’ Fatawa Ibn Taimiyyah, 35: 24).

Doktrin Al-Imamah
Antara kelompok yang dilihat paling tegas menentang institusi raja ialah golongan Syiah. Ketegasan mereka ini ada kaitan dengan doktrin al-Imamah (kepimpinan Imam Syiah) yang mereka anuti. Golongan Syiah mengimani perkara al-Imamah ini sebagai rukun Islam.  Semua kitab sumber syiah, sama ada yang lama atau baru, sepakat menekankan konsep kepimpinan Imam Syiah ini sebagai rukun Islam. Al-Kulaini misalnya, meriwayatkan kata-kata Abu Ja’far (maksudnya): “Islam itu terbina di atas lima perkara, (iaitu) di atas solat, zakat, puasa, haji dan al-wilayah (al-Imamah)…”. (Usul al-Kafi, 2: 18). Berdasarkan doktrin ini, puak syiah hanya mengiktiraf kerajaan yang dipimpin oleh Imam-imam atau wakil imam mereka.
Kesan buruk daripada doktrin ini bukan setakat mendorong mereka untuk mengkafirkan sesiapa saja yang tidak mempercayainya, bahkan ia juga mendorong mereka untuk tidak mengiktiraf mana-mana kerajaan yang tidak ditegakkan di atas prinsip tersebut, meskipun ia kerajaan pimpinan Khulafa’ Rasyidin. Dalam konteks ini, ulama syiah berkata: “Sesungguhnya mereka (Khulafa’ Rasyidin) adalah para perampas yang jahat, murtad dari agama, semoga Allah melaknati mereka dan orang yang mengikuti mereka, kerana kezaliman mereka ke atas ahlul bait yang terdahulu dan yang terkemudian”. (Bihar al-Anwar, 4: 385). Jika pemerintahan Khulafa’ Rasyidin pun mereka tidak iktiraf, bahkan mereka laknat, maka pemerintahan beraja selepas itu lebih-lebih lagilah mereka menolaknya.
                Kesan daripada doktrin ini juga, golongan syiah telah mengkafir dan melaknat negara-negara Islam yang tidak dipimpin oleh para Imam syiah. Sehingga mereka pernah berkata: “Penduduk Syam lebih jahat daripada penduduk Kristian Rom, penduduk Madinah lebih jahat daripada penduduk Makkah, manakala penduduk Makkah itu pula telah kufur terhadap Allah secara nyata”. (Usul al-Kafi, 2: 409). Syiah juga pernah mengecam penduduk Mesir dengan berkata: “Penduduk Mesir dilaknat melalui lidah Daud a.s., lalu Allah menjadikan sebahagian mereka kera dan babi”. (Bihar al-Anwar, 60: 208). Mereka juga pernah berkata: “Sejahat-jahat negeri adalah negeri Mesir, ketahuilah bahawa ia adalah penjara bagi golongan yang dimurkai Allah dari kalangan Bani Israel”. (Bihar al-Anwar, 60: 210).
                Kemuncak bagi doktrin anutan syiah ini ialah gerakan revolusi bagi menjatuhkan sistem beraja, seperti yang berlaku di Iran pada tahun 1979. Revolusi Syiah Iran sama seperti revolusi Eropah tajaan pemodal elit Yahudi yang bertujuan menghapuskan institusi raja dan agama. Institusi raja sangat tidak disenangi oleh Yahudi Zionis, kerana kewujudannya mengekang perancangan hegemoni mereka untuk melahirkan New World Order. Bagi melancarkan rancangan tersebut, maka kekangan daripada institusi raja dan agama perlu dihapuskan terlebih dahulu. Bermula dengan kerajaan Bavaria, maka satu persatu kerajaan beraja di Eropah dihancurkan melalui gerakan revolusi.

Pengaruh Pemikiran Syiah
Doktrin al-Imamah tajaan puak syiah telah menyerap ke dalam pemikiran gerakan-gerakan Islam seluruh dunia, termasuklah gerakan Ikhwan al-Muslimin di Mesir. Mereka pernah bersekongkol dengan pihak tentera untuk menggulingkan kerajaan beraja di Mesir.  Mereka juga menyokong revolusi Syiah di Iran dan mereka tidak mengiktiraf pemerintahan beraja Negara-negara Arab Teluk. Gerakan-gerakan Islam di Malaysia juga tidak terlepas daripada pengaruh Syiah dan Ikhwan al-Muslimin dalam konteks penolakan institusi raja.         
Hari ini, ramai yang terpinga-pinga mencari jawapan, kenapa kerajaan Negara-negara Arab Teluk menyokong As-Sisi dan tidak menyokong Mursi? Jawapannya ialah kerana Mursi lebih rapat dengan Syiah Iran dan beliau berterus terang tidak mengiktiraf sistem beraja.  Justeru, timbul kebimbangan di pihak Raja-Raja Arab kemungkinan revolusi yang berlaku di Tunisia, Libya dan Mesir akan merebak ke Negara-negara mereka. Bahkan benih-benih percubaannya telah mula disemai melalui demonstrasi jalanan yang berlaku di Arab Saudi, UAE dan Bahrain. Bertanya papan kepada paku: “Kenapa engkau menyepit aku?”. Maka jawab paku: “Tanyalah orang yang ketuk aku”. Raja-Raja Arab merasa tersepit kerana Mursi dan Ikhwan al-Muslimin terlebih dahulu mengetuk kedaulatan Negara mereka. Inilah antara kesilapan Mursi yang paling besar.
Dalam konteks Malaysia, pengaruh pemikiran Syiah dan Ikhwan al-Muslimin dari segi penolakan sistem beraja sangat kuat. Forum dan ceramah yang mengkritik konsep ketuanan melayu sering diadakan di sana sini. Generasi muda diasuh sedikit demi sedikit supaya tidak menghormati institusi raja. Malah ada professor universiti yang tidak mengiktiraf ulama yang menerima gelaran kurniaan raja, kerana kononnya ia memberi signifikan pengiktirafan terhadap institusi raja. Ironinya, ramai pula yang lantang menolak konsep ketuanan melayu dikurniakan gelaran diraja. Jika tiada kesedaran, revolusi boleh berlaku di mana sahaja.