IMAM AL-SYAFI’I BERAKIDAH SALAF

Oleh: Syaikh Dr. Muhammad bin Abdul Wahhab Al-‘Aqil, pensyarah Jabatan Akidah, Uni. Islam Madinah, Arab Saudi.
Susunan Teks: Ustaz Idris bin Sulaiman, Pegawai Penyelidik di Kedutaan Arab Saudi
al_ibanah
Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari rahimahullah telah kembali kepada akidah Salaf seperti mana yang dinyatakan beliau sendiri di dalam kitab beliau Al-Ibanah dan Al-Maqalat Al-Islamiyyin
Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah (juga disebut Manhaj Salaf) dalam bab Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah adalah menyifatkan Allah dengan sifat-sifat yang telah Allah tetapkan untuk diriNya sendiri melalui firmanNya atau sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tanpa takwil atau tahrif (menukar maksud), tanpa takyif (bertanya bagaimana), ta’thil (menafikan), tamsil dan tasybih (menyerupakan dengan sifat makhluk) seperti mana firman Allah: “Tidak ada sesuatu pun yang serupa denganNya, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Syura: 11)
Imam Al-Syafi’i berpegang dengan mazhab Salaf. Beliau menerima nas-nas Al-Quran dan hadis (berkaitan nama dan sifat Allah) mengikut zahirnya tanpa takwil, takyif, tasybih dan ta’thil ke atas nas-nas ini. Imam Syafi’i bahkan pernah berdebat dengan sejumlah tokoh yang bertentangan dengan mazhab ini serta menegakkan hujah ke atas mereka. Malah, diriwayatkan darinya bahawa beliau pernah menghukum kafir lawan debatnya yang menyelisihi manhaj Salaf ini. Ini adalah bukti betapa gigihnya beliau dalam mempertahankan manhaj Salaf, menetapkan sifat Allah sesuai dengan apa yang Allah Subhanahu wa Ta’ala tetapkan di dalam Al-Quran dan Al-Sunnah tanpa melakukan sebarang perubahan dan penyimpangan maksud.
Di antara anak murid Imam Al-Syafi’i di dalam hal ini adalah Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah sendiri. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah berkata: “Alhamdulillah, keyakinan Imam Al-Syafi’i dan keyakinan para salaf sama, seperti Malik, Al-Tsauri, Al-Auza’i, Ibnul Mubarak, Ahmad bin Hanbal, dan Ishak bin Rahwaih, iaitu keyakinan yang dipegang oleh Masyaikh (para guru) yang patut diikuti jejaknya seperti Fudhail bin Iyadh, Abu Sulaiman Al-Darani, Sahl bin Abdullah Al-Tusturi, dan yang lainnya. Sebab, tidak pernah terjadi di kalangan imam-imam semisal mereka pertikaian atau perbezaan pendapat dalam pokok-pokok agama (akidah).”
Di awal khutbah Ar-Risalah (kitab karangan Imam Al-Syafi’i yang masyhur), Imam Al-Syafi’i berkata: “Segala puji bagi Allah sebagaimana Dia mensifati diriNya dan berada di atas (lebih tinggi dari) apa yang disifatkan untukNya oleh makhlukNya.” Imam Al-Syafi’i berkata lagi di dalam kitabnya: “Segala puji bagi Allah yang telah menciptakan langit dan bumi serta menjadikan kegelapan dan cahaya meskipun orang-orang kafir berpaling dari Tuhan mereka. Segala puji bagi Allah, tidaklah mensyukuri nikmat dari nikmat-nikmatNya, kecuali dengan nikmat dariNya. Maka wajib bagi orang yang telah mendapatkannya untuk mensyukuriNya atas nikmat yang baru. Sesungguhnya orang yang mensifatkanNya tidak akan sampai kepada hakikat keagunganNYA seperti yang disifatkan olehNya kerana Dia di atas semua yang disifatkan oleh makhlukNya. (Al-Risalah, hlm. 7-8)
Di sini beliau rhm. menjelaskan bahawa Allah bersifat sesuai dengan apa yang Dia tetapkan untuk diriNya di dalam kitabNya melalui lisan RasulNya. (Majmu’ Al-Fatawa, Ibn Taimiyah V/256-257)
Dari Sa’id bin Asad, dia berkata: “Aku berkata kepada Syafi’i rhm, “Apa yang engkau katakan tentang hadis ru’yah (melihat Allah pada hari Akhirat bagi ahli Syurga)?” Dia menjawab: “Wahai anak Asad, putuskanlah untukku selama aku hidup atau sesudah aku mati bahawa setiap hadis sahih yang datang dari Rasulullah s.a.w, maka aku akan mengatakan dan mengikutinya sekalipun belum pernah sampai kepadaku.” (Riwayat Imam Al-Baihaqi dalam Al-I’tiqad dan Al-Manaqib)
Imam Ibnu Katsir rhm. berkata, “Diriwayatkan dari Al-Rabi’ dan tidak cuma seorang dari kalangan sahabat (murid Imam Syafi’i) terkemuka, iaitu keterangan yang menunjukkan bahawa beliau menyikapi ayat-ayat sifat dan hadis-hadis tentangnya sebagaimana datangnya, tanpa melakukan takyif, tasybih, ta’thil dan tahrif sesuai dengan metod Salaf.” (Al-Bidayah wa Al-Nihayah, X/256)
Dari sini jelas kepada kita mazhab Imam Syafi’i dalam permasalahan akidah di mana beliau rahimahullah menetapkan bagi Allah seluruh Nama dan Sifat yang diterangkan oleh Al-Quran dan Sunnah yang sahih dengan penetapan tanpa tasybih (menyerupakan dengan makhluk) dan penyucian tanpa ta’thil (menafikan Nama dan Sifat tersebut).
Beliau juga bersikap menahan diri dari tindakan terlalu mendalami sesuatu yang tidak ada peluang bagi akal untuk sampai kepadanya, serta mematikan keinginan untuk memahami kaifiyat (bagaimana) sifat-sifat ini. Imam Al-Syafi’i berkata, “Sesungguhnya akal itu mempunyai keterbatasan. Jangkauannya berakhir pada batasnya seperti mana pandangan mata mempunyai batas jangkauannya.” (Riwayat Ibnu Abi Hatim, Adab Al-Syafi’i dan Manaqib Al-Syafi’i)
PENYIMPANGAN TERHADAP NAMA ALLAH
ALLAH SWT memerintahkan agar kita berdoa dengan Nama-namaNya yang indah dan mengingatkan kita supaya jauh dari sikap mengingkarinya kerana itu adalah penyelewengan dari kewajipan ini. Beberapa bentuk penyelewengan telah dilakukan oleh golongan yang menyimpang dari mazhab Ahli Sunnah wal Jama’ah seperti berikut;
1) Mengingkari sesuatu dari Nama dan Sifat Allah seperti yang dilakukan oleh ahli ta’thil dari kelompok Jahmiyyah dan lain-lain. 2) Menjadikannya sebagai dalil yang menunjukkan pada sifat yang menyerupai sifat makhluk seperti yang dilakukan oleh ahli tasybih. 3) Menamakan Allah dengan nama yang tidak dinamakan ALLAH untuk diriNya, seperti menamakan Bapa oleh kaum Nasrani, dan menamakan ‘illat al-fa’ilah oleh ahli falsafah. Ini kerana nama-nama Allah adalah tauqifiyah (mesti berasaskan dalil), maka menamakan Allah dengan apa yang tidak dinamakanNya untuk diriNya adalah satu penyimpangan. Maha Suci Allah darinya. 4) Mengambil asal dari Nama-namaNya untuk nama berhala atau selain Allah seperti yang dilakukan oleh kaum Musyrikin.
NAMA ALLAH TIDAK TERBATAS BILANGANNYA
Nama-nama Allah tidak terbatas dengan bilangan tertentu, berdasarkan sabda Rasulullah dalam hadis yang masyhur: “Aku memohon kepadaMu dengan segala nama yang menjadi milikMu yang Engkau namakan diriMu dengannya, atau yang Engkau turunkan di dalam kitabMu, atau yang Engkau ajarkan kepada salah seorang di antara makhlukMu, atau yang Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib yang ada di sisiMu. (Sahih. Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
Apa yang Allah rahsiakan di dalam ilmu ghaibNya, tidak mungkin seorang pun dapat mengetahui dan menghitungnya. Maka menghadkan bilangan tertentu untuk nama-nama Allah seperti 20 dan sebagainya adalah satu perbuatan yang tidak wajar sama sekali. Adapun sabda Rasulullah s.a.w, “Sesungguhnya bagi Allah itu 99 nama, seratus kurang satu. Siapa yang menghitungnya nescaya masuk Syurga.” (Riwayat Bukhari dan Muslim), hal itu tidak menunjukkan pembatasan nama Allah dengan bilangan. Yang dimaksudkan adalah: “Jumlah ini termasuk urusannya, sesiapa yang menghitungnya nescaya masuk Syurga.” Yang dimaksudkan dengan ‘menghitung’ adalah menghafal dan memahaminya dari segi makna, adapun kesempurnaannya adalah dengan menyembah Allah berdasarkan tuntutan nama-nama itu. (Al-Qawa’id Al-Mutsla)
AKIDAH IMAM SYAFI’I TENTANG SIFAT AL-‘ULUW (KETINGGIAN) ALLAH
Firman Allah SWT: “Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan menterbalikkan bumi bersamamu.” (Al-Mulk: 16). Firman Allah: “Mereka takut kepada Rabb yang berada di atas mereka dan mereka melaksanakan apa yang diperintahkan.” (Al-Nahl: 50). Firman Allah: “Sucikanlah nama Rabbmu yang Maha Tinggi.” (Al-A’la: 1). Firman Allah: “Malaikat-malaikat dan Ruh (Jibril) naik kepada Rabb dalam sehari yang kadarnya 50 ribu tahun.” (Al-Ma’arij: 4).
Masih banyak ayat yang menjelaskan ketinggian ALLAH di atas makhluknya, begitu juga hadis, terlalu banyak untuk dicantumkan dan terlalu masyhur untuk disebutkan sehingga mencapai darjat mutawatir, begitu juga banyak kitab Ulama Salaf yang mengupas bab ini secara detil.
Antara hadis masyhur dan diriwayatkan secara mutawatir adalah hadis Israk dan Mi’raj yang menunjukkan ketinggian Allah di atas ArasyNya. Antaranya ungkapan sabda Nabi: “Lalu aku dinaikkan ke atasnya, maka berangkatlah Jibril bersamaku hingga sampai ke langit yang terendah (langit dunia), dia pun memohon izin agar dibukakan.” Hinggalah Nabi s.a.w naik melewati langit ke-7 dan akhirnya bertemu dengan Allah lalu difardhukan solat. Kemudian diceritakan lagi dalam hadis sahih tentang turun dan naiknya Nabi s.a.w antara Musa a.s. dengan Tuhannya untuk meminta keringanan solat. (Lihat riwayat Bukhari dan Muslim).
Hadis ini merupakan indikasi terbesar terhadap ketinggian Allah atas seluruh makhlukNya sekaligus mematahkan hujah golongan yang mengatakan Allah ada di mana-mana atau Allah wujud tidak bertempat.
Imam Ibnu Abil ‘Izz Al-Hanafi menyebut bahawa dalil ketinggian Allah terlalu banyak, dia berkata: “Semua itu kalau dihurai panjang lebar akan mencapai seribu dalil. Oleh itu orang yang mentakwilnya harus menjawab semuanya, tetapi dia tidak akan bisa dan tidak akan mampu menemukan jawapannya yang sahih walaupun hanya sebahagian sahaja.” (Syarh Aqidah Al-Thahawiyah)
Imam Syafi’i berkata: “Perkataan dalam sunnah yang aku berjalan di atasnya, dan aku lihat para sahabat kami juga berjalan di atasnya adalah: Berikrar dengan persaksian bahawa tiada sembahan yang berhak disembah selain Allah, sesungguhnya Muhammad itu Rasulullah, sesungguhnya Allah itu diatas ArsyNya, di atas langitNya, Dia mendekat kepada makhluknya bagaimana pun Dia kehendaki, dan Allah juga turun ke langit dunia sesuai kehendaknya.” (Itsbatu Sifati Al-Uluw, hlm. 124. Majmu’ Al-Fatawa 4/181-183. Al-Uluw li Al-Dzahabi, hlm. 120)
MENGIKUT FIQH IMAM SYAFI’I TETAPI MENYELISIHI AKIDAHNYA
Bagi mereka yang mengikuti mazhab Imam Al-Syafi’i di dalam permasalahan fekah sahaja, tetapi menyelisihi akidah yang dipegang oleh Imam Al-Syafi’i, kita bertanya kepada mereka: Mengapa? Adakah Imam Al-Syafi’i jahil di dalam masalah akidah? Atau adakah Imam Syafi’i melakukan bid’ah di dalam akidah?
Mereka yang mendakwa sebagai pengikut Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari perlu tahu bahawa Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari sendiri telah kembali kepada mazhab Salaf seperti mana yang dinyatakan oleh beliau sendiri di dalam kitab beliau iaitu Al-Ibanah dan kitab beliau Al-Maqalat Al-Islamiyyin. Maka sewajarnya pengikut Abu Al-Hasan Al-Asy’ari untuk mereka mengikuti jejak langkah guru mereka Abu Al-Hasan Al-Asy’ari iaitu dengan kembali kepada mazhab Salaf sama seperti akidahnya Imam Al-Syafi’i.
Artikel ini disiarkan di akhbar pada Sabtu, 15 Jun 2013
sinar imam syafie