Abu Omar, Idris bin Sulaiman
(Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut: http://www.youtube.com/watch?v=1bSP3m6wZqY )Saya ingin mengajak para ikhwah semua untuk melihat kepada suasana yang berlaku pada zaman sekarang di kalangan masyarakat Islam secara khasnya; dari segi perbalahan, pertelingkahan, dan perpecahan umat Islam.
Saya ingin mengajak untuk kita lihat dan faham tentang apakah tindakan dan kedudukan kita dalam menghadapi perpecahan yang berlaku pada zaman sekarang. Di samping itu, kita juga perlu tahu apakah cara penyelesaian terhadap kemelut umat Islam ini.
Barangkali kita sudah tahu tetapi kita lupa atau buat-buat tidak tahu, bahawasanya Syariat Islam mengajak supaya kita bersatu, bersama-sama dan jangan kita berpecah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah Al-Rum,
وَلَا تَكُونُوا مِنَ الْمُشْرِكِينَ مِنَ الَّذِينَ فَرَّقُوا دِينَهُمْ وَكَانُوا شِيَعًا كُلُّ حِزْبٍ بِمَا لَدَيْهِمْ فَرِحُونَ
“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang mensyirikkan Allah, iaitu mereka yang memecah-belahkan agama mereka dan mereka menjadi berpuak-puak. Setiap puak berbangga dengan puak mereka.” (Surah Ar-Rum, 30: 31-32)Lihat juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah Al-Anfal,
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
“Dan taatilah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbalah, yang menyebabkan kamu gagal dan kekuatanmu hilang.” (Surah Al-Anfal: 46)Dari ayat ini, apa yang akan berlaku kalau kita berbalah, berpecah, bertelingkah, bermusuhan, atau berperang sesama kita? Allah mengatakan bahawa kita akan gagal dan kekuatan yang kita perlukan untuk berdepan dengan musuh akan hilang mengenangkan kita berpecah sesama kita.
Kerana apa kita disuruh supaya bersatu? Kerana “innamal mukminuna ikhwah, fa ashlihu baina akhawaikum” (sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara saudara-saudara kamu).
Itu sepatutnya tanggungjawab kita. Bukan kita melakukan sebaliknya. Bukan kita tambahkan lagi perpecahan, semarakkan lagi pertelingkahan yang ada, bukan kita menjadi batu api dan sebagainya. Ini yang hendak kita ketengahkan dan tekankan kepada masyarakat Islam yang kita lihat semakin hari semakin jauh daripada ajaran Islam itu sendiri.
Kalau kita lihat, perpecahan umat Islam terjadi kepada bermacam-macam kumpulan, aliran dan mazhab tidak kira di dalam apa juga, termasuklah di dalam masalah kepercayaan (akidah) sendiri.
Kumpulan-kumpulan Islam yang kita sudah tahu berpecah dalam akidah seperti Syiah, Ahli Kalam (Asya’irah, Mu’tazilah, Jahmiyah, Maturidiyah), ada juga kumpulan-kumpulan sufi yang berpecah kepada tarikat-tarikat. Bermacam-macam pecahan kumpulan di dalam akidah.
Persoalan, bagaimanakah kita berdepan dan apakah kedudukan kita terhadap perpecahan-perpecahan yang ada. Kalau kita lihat perbezaan yang ada dalam masalah akidah umat Islam, kadang-kadang di dalam masalah pokok iaitu manhaj (metodologi) dalam kita memahami Al-Quran dan As-Sunnah itu pun sudah ada perbezaan.
Ada metodologi yang mendahulukan Akal berbanding Naqal (wahyu daripada Al-Quran dan As-Sunnah) di dalam mereka memahami agama. Maka kesudahannya, mereka turut mendahulukan akal di dalam masalah akidah iaitu masalah pokok keimanan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Di antara ciri-ciri beriman dengan Allah adalah beriman dengan Asma (Nama-nama) dan Sifat-Nya. Mereka mendahulukan akal dan apabila mereka mendahulukan akal, mereka menafikan sifat-sifat Allah. Kalau tidak menafikan, mereka memutar belit atau memahaminya dengan maksud yang lain yakni dinamakan sebagai takwil.
Ini adalah di dalam masalah pokok. Begitu juga di dalam masalah ‘Di mana Allah’ yang juga merupakan masalah pokok di dalam agama. Di manakah Allah?
Persoalan pokok seperti ini pun masih kita dapati berbagai-bagai jawapan. Kalau kita tanya kepada masyarakat Islam, ada yang kata Allah tidak bertempat. Ini jawapan yang melampau. Dia mengatakan Allah bukan di atas, Allah bukan di bawah, bukan di kanan, bukan di kiri, bukan di depan, bukan di belakang, Allah tidak bertempat.
Sedangkan bagaimana lagi kita hendak menceritakan tentang sesuatu yang tidak ada, kalau bukan dengan jawapan mereka tadi? Benda yang tidak ada adalah benda yang tidak ada di atas, tidak ada di bawah, tidak ada di depan, di belakang, di kiri, di kanan. Kesudahannya, tafsiran mereka seolah-olah menafikan kewujudan Allah. Itu kalau ada yang mengatakan bahawa Allah tidak bertempat.
Seperti mana yang kita tahu, ada golongan lain pula yang mengatakan bahawa Allah di mana-mana. Kadang-kadang tersentak juga, adakah Allah di tempat-tempat yang kita sendiri tidak mahu duduk? Di dalam tandas misalnya. Adakah kita mengatakan bahawa Allah ada di situ juga? Na’uzubillah. Tetapi itu adalah kata-kata mereka malah mereka tekankan lagi bahawa Allah ada di mana-mana.
Malah ada juga yang mengatakan bahawa Allah ada di dalam segala makhluk. Ini yang dikatakan sebagai Wihdatul Wujud; kesatuan Allah di dalam segala makhluk, tidak kira yang hidup ataupun tidak. Mereka mengibaratkan bahawa ini semua (setiap makhluk) merupakan sebahagian daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Ini merupakan persoalan pokok yang menjadi perselisihan. Belum lagi kita mengambil kira tentang permasalahan-permasalahan tentang mereka yang pergi meminta hajat di kubur. Kononnya kubur wali-wali, orang soleh. Mereka pergi ke kubur itu untuk meminta apa sahaja hajat. Kononnya wali itu mampu untuk membantu dan menunaikan hajatnya.
Walhal perkara seperti ini jelas menyekutukan Allah. Sedangkan Allah menyuruh supaya hanya berdoa kepada Allah sahaja,
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
“Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu.” (Surah Ghafir/Al-Mukmin: 60)Allah menyuruh supaya kita berdoa kepada Allah, hanya kepada-Nya. Tetapi apa yang mereka lakukan adalah sebaliknya. Mereka pergi ke kubur untuk memohon hajat dan sebagainya. Benda yang syirik tetapi mereka menggunakan istilah tawassul (perantaraan). Mereka mengatakan “kami tidak menyembah kubur, kami hanya menjadikannya sebagai perantaraan untuk menyampaikan hajat kepada Allah”.
Itulah alasan orang-orang Musyrikin, Abu Jahal, Abu Lahab apabila mereka menyembah berhala. Mereka sama sekali tidak beranggapan bahawa berhala itu yang menciptakan mereka. Tidak, jangan fikir mereka sebodoh itu. Mereka menjadikan berhala-berhala itu hanya sebagai perantaraan mereka dengan Allah. Ini sebagaimana yang diceritakan Allah di dalam Al-Quran,
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ أَوْلِيَاءَ مَا نَعْبُدُهُمْ إِلا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى
“Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): “Tidaklah kami menyembah mereka melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya.” (Surah Az-Zumar, 39: 3)Tetapi itu tetap dianggap sebagai syirik. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam tetap memerangi orang-orang yang berfikiran sebegini dari kalangan Musyrikin Makkah. Itu adalah akidah mereka.
Begitu juga dengan persoalan percaya dengan keramat, wali-wali. Mereka yang percaya kepada keramat, wali-wali, menganggap bahawa Syaikhnya ada kuasa, tetapi mereka memanggilnya dengan istilah keramat. Apa maksud keramat? Kadang-kadang kita sebut perkara yang kita sendiri tidak faham.
(Keramat) maknanya ada kuasa. Contohnya mampu untuk menyembuhkan penyakit, memudahkan rezki, kalau orang tidak mampu beranak dia boleh tolong kerana dia ada keramat. Inilah dia kepercayaan sebahagian daripada kalangan umat Islam itu sendiri yang mereka panggil sebagai keramat.
Tetapi hakikatnya keramat itu adalah sebahagian daripada kuasa ketuhanan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Ini juga merupakan satu perbuatan syirik; antaranya mereka percaya bahawa Syaikh ini mampu membawa hujan, Syaikh ini mampu menolak hujan. Apabila mengadakan majlis besar-besar dan sudah mengeluarkan duit berjuta-juta, dia takut majlis itu dirosakkan oleh hujan, maka dia pun memanggil Tok Syeikh untuk menolak hujan. Ini adalah satu bentuk syirik. Tetapi mereka tidak memanggilnya syirik, mereka memanggilnya keramat.
Begitu juga dengan persoalan mengada-adakan benda-benda yang baru dalam agama, ibadah-ibadah, perayaan-perayaan. Benda yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat, tidak pernah dilakukan oleh generasi Salaf Al-Saleh, tetapi ibadah dan perayaan yang diada-adakan. Apa alasan mereka?
Alasan mereka: “Benda itu kan baik”. Sebutlah apa-apa benda yang telah diada-adakan. Tahlilnya, marhabannya, talqinnya, bacaan Yasin malam Jumaatnya, baca doa secara berjemaahnya, benda yang asalnya memang dari agama iaitu membaca Al-Quran, berzikir, berdoa. Asalnya memang dari agama, tetapi dilakukan dengan cara yang tidak berasaskan agama iaitu tidak mengikut cara Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
Sedangkan Rasulullah diutuskan untuk apa kalau bukan untuk menjelaskan kepada kita cara beribadah. Rasulullah diutuskan untuk apa? Ajar kita cara untuk buat bangunan? Ajar kita cara cari makan? Tidak! Rasulullah diutuskan untuk satu tujuan sahaja, iaitu untuk mengajar kita cara beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Rasulullah diutuskan untuk menjelaskan Al-Quran yang diturunkan, untuk mengajar kita cara beribadah kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, kerana itulah satu-satunya tujuan kita hidup di dunia ini. Firman Allah,
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
“Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.” (Surah Adz-Dzaariyaat, 51: 56)Jadi perbuatan-perbuatan kumpulan-kumpulan Islam ini kadang-kadang memang kita nampak saling berbeza, kerana mereka mendahului akal dan membelakangkan petunjuk Nabi di dalam beribadah.
Bersambung: Akidah yang murni (2)