Abu Omar, Idris bin Sulaiman
PERTAMA: KEDUDUKANNYA TERHADAP ORANG-ORANG KAFIR
Beliau sangat bersikap toleransi (مُمَيِّع) serta menafikan akidah al-walaa’ dan al-baraa’ di dalam hubungan dengan orang-orang kafir. Di antara kata-kata beliau:1. Tentang golongan Kristian; “Semua permasalahan antara kita (Orang Islam dan Kristian) adalah sama. Kita daripada satu warganegara, hala-tuju kita satu dan kita adalah umat yang satu. Saya katakan mereka adalah saudara Kristian kita. Sebahagian tidak bersetuju (dan bertanya) bagaimana saya katakan (mereka adalah) saudara Kristian kita? (Saya katakan) “Sesungguhnya orang-orang beriman adalah bersaudara”(Al-Hujuraat, 10). Benar, kita beriman dan mereka juga beriman daripada sudut yang lain!”
(برنامج الشريعة والحياة: حلقة بعنوان غير المسلمين في ظل الشريعة الاسلامية . http://www.qaradawi.net)
Hakikatnya Syarak sama sekali tidak mengiktiraf agama yang lain selain daripada Islam, sebagaimana firman Allah, “Barangsiapa mencari agama selain daripada Islam, ia tidak akan diterima daripadanya dan di Akhirat dia tergolong dalam golongan yang rugi” (Aal Imran, 3: 85).
2. ‘Kasih seorang Muslim terhadap orang bukan Islam tidak mengapa.’
(غير المسلمين في المجتمع الاسلامي hlm. 57)
Kenyataan ini bercanggah dengan firman Allah, “Engkau tidak akan dapati sebuah kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, tergamak berkasih-sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya (orang kafir), sekalipun orang-orang yang menentang itu adalah bapa-bapa, anak-anak, saudara-mara mahupun keluarga mereka sendiri” (Al-Mujadalah, 22).
3. Beliau melihat bahawa permusuhan antara orang Islam dan Yahudi adalah kerana berebut tanah sahaja dan bukan kerana Agama (الأمة الاسلاية حقيقة لا وهم hlm.70). Adapun firman Allah, “Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang paling keras permusuhannya terhadap orang-orang yang beriman adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrikin” (Al-Maa’idah, 82) Beliau beranggapan bahawa ayat ini adalah khas buat zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sahaja.
(برنامج الشرعية والحياة: حلقة بعنوان الصراع بين المسلمين واليهود .www.qaradawi.net).
Malah beliau melihat bahawa lanjutan ayat di atas menunjukkan betapa hampirnya orang-orang Kristian dengan orang Islam pada zaman sekarang. (الحلال والحرام hlm. 292)
Bagi beliau “Sekiranya orang-orang Islam menjadi mulia, maka orang-orang Kristian pun akan menjadi begitu tanpa sebarang keraguan. Dan sekiranya orang-orang Islam menjadi hina, orang-orang Kristian pun begitu.”
4. Beliau melihat bahawa Islam menghormati agama Kristian yang sesat.
(الاسلام والعلمانية hlm. 101)
Mereka seperti orang Islam juga. Mereka memperolehi apa yang diperolehi oleh orang Islam serta berkewajipan seperti orang Islam. Orang Islam dan Kristian berkongsi tanah sesama mereka. Malah Islam telah menitik-beratkan titik-titik pertemuan dan bukan perselisihan antara kedua agama ini.
(فتاوى معاصرة 2/271)
Oleh itu, orang Islam dan Kristian perlu berdiri sebaris di atas tanah yang mereka berkongsi-sama untuk berdepan dengan segala bentuk kezaliman. Bagi beliau, jihad adalah untuk mempertahankan semua agama dan bukan Islam sahaja.
(برنامج الشريعة والحياة: حلقة بعنوان الاسلام والغرب . http://www.qaradawi.net)
Atas kefahaman ini beliau membolehkan untuk orang Islam mengucapkan tahniah kepada penganut agama lain sempena perayaan agama mereka.
(فتاوى معاصرة 2/617)
Kenyataan beliau ini jelas menyelisihi Syarak di mana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Tidaklah sesiapa daripada umat ini sama ada Yahudi atau Nasrani yang mendengar seruanku lalu dia mati tanpa beriman dengan risalah yang aku bawa melainkan dia akan tergolong dalam ahli neraka” (Muslim).
Adapun kenyataan beliau tentang jihad, sama sekali ia bukan untuk mempertahankan semua agama kerana Allah berfirman, “Perangilah mereka yang tidak beriman dengan Allah dan Hari Akhirat” (Al-Taubah, 29). Maka tujuan jihad adalah sebagaimana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, “Barangsiapa yang berjuang untuk menegakkan Kalimah Allah (Islam) maka dia (berjihad) pada Jalan Allah” (Bukhari dan Muslim). Ia bertujuan untuk menegakkan Agama Islam di atas muka bumi dan SAMA SEKALI BUKAN AGAMA LAIN.
Tentang mengucap tahniah kepada orang kafir, Ibnu Al-Qayyim berkata, “Mengucapkan tahniah terhadap syi’ar-syi’ar kekufuran adalah haram secara sepakat. Seperti mengucapkan tahniah sempena perayaan dan puasa mereka… Hal ini kalau bukan kufur ia adalah dosa besar… Sesungguhnya sesiapa yang mengucapkan tahniah sempena kemaksiatan, bid’ah atau kufur telah mengundangkan kebencian dan kemurkaan Allah” (أحكام أهل الذمة 1/162).
5. Al-Qaradawi berpendapat bahawa jizyah (bayaran yang dikenakan ke atas orang kafir yang menetap di negara Islam) yang diambil daripada golongan ‘zimmi’ (orang kafir yang menetap di negara Islam dan mendapat perlindungan daripada kerajaan Islam) adalah kerana mereka tidak mempertahankan negara (bersama orang-orang Islam). Adapun zaman sekarang, ia tidak perlu kerana khidmat negara (ketenteraan) menjadi wajib bagi orang Islam dan kafir.
(برنامج الشرعية والحياة: حلقة بعنوان غير المسلمين في ظل الشريعة الاسلامية . http://www.qaradawi.net)
KEDUA: KEDUDUKAN BELIAU TERHADAP ORANG-ORANG BID’AH
Sekiranya beliau menyanggah golongan bid’ah, beliau berbicara tentang golongan yang tidak wujud lagi. Beliau menyanggah golongan Muktazilah dan Khawarij dahulu (المرجعية العليا في الاسلام) tetapi menyanjung mereka yang hidup pada zaman sekarang seperti Muhammad Al-Ghazali (guru beliau), Jamaluddin Al-Afghani, Muhammad Iqbal dan Jemaah Ikhwan Muslimin secara amnya (من أجل صحوة راشدة hlm. 101).
Adapun bagi golongan (Syiah) Rafidah yang mendokong fahaman Muktazilah di samping penyimpangan-penyimpangan lain yang jauh lebih besar, beliau mempertahankan mereka.
Malah perbuatan mengungkit perbezaan dengan mereka dianggap sebagai satu perbuatan yang mengkhianati Umat Islam. Beliau melihat bahawa perbuatan mereka melaknat Sahabat, menyeleweng Al-Quran, mendakwa bahawa para imam mereka maksum dan lain-lain adalah permasalahan yang remeh. (الخصائص العامة للاسلام hlm. 209).
Bagi kumpulan Asya’irah dan Maturidiah pula, beliau menggolongkan mereka dalam Ahli Sunnah dan perkara ini adalah muktamad di sisi beliau.
(وجود الله hlm. 7-8 dan القرضاوي في الميزان oleh Sulaiman Kharasyi hlm. 94)
KETIGA: KEDUDUKAN BELIAU TERHADAP SUNNAH RASULULLAH sallallahu ‘alaihi wasallam
Al-Qaradawi mendokong Metodolgi Ahli Kalam yang mendahulukan akal di dalam memahami Hadis-Hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Hasilnya, sebahagian hadis telah ditolak dan sebahagian yang lain ditakwil kerana tidak menepati fahaman beliau. Sebagai contohnya:
1. Tentang Hadis:
“إنَّ أبِي وَأَبَاكَ فِي النَّارِ “
(Sesungguhnya bapaku dan bapamu dalam Neraka) (Muslim).
Al-Qaradawi berkata, “Apakah dosa Abdullah bin Abdul Muttalib sehingga dia masuk neraka sedangkan beliau termasuk dalam Golongan ‘Ahli Fatrah’ (Golongan yang tidak sampai kepada mereka dakwah Islam); walhal pendapat yang betul adalah mereka akan terselamat (daripada Api Neraka)!!”(كيف نتعامل مع السنة النبوية hlm. 97)
Kenyataan ini jelas menyanggah apa yang telah ditetapkan oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam. Hakikat bahawa Abdullah bin Abdul Muttalib termasuk dalam penghuni neraka jelas menunjukkan bahawa beliau bukan daripada kalangan Ahli Fatrah. Malah terdapat bukti-bukti jelas yang menunjukkan bahawa masyarakat Jahiliah bukan daripada kalangan Ahli Fatrah memandangkan mereka telah mewarisi banyak daripada ajaran Nabi Ibrahim dan Ismail ‘alaihimassalam seperti Umrah dan Haji. Hadis Baginda seperti “Sesungguhnya kedua mereka diazab” (Bukhari dan Muslim) yang merujuk kepada dua penghuni kubur yang mati pada zaman jahiliah jelas menyokong kenyataan bahawa masyarakat Jahiliah bukan daripada Golongan Ahli Fatrah.
2. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
” لَنْ يَفْلَحَ قَوْمٌ وَلَّوْ أمْرَهُمْ امْرَأَةٌ “
(Tidak akan berjaya kaum yang menjaga hal-ehwal mereka wanita) (Bukhari).
Berkata Al-Qaradawi, “Hal ini khas buat zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di mana kaum lelaki memerintah secara paksa. Adapun pada zaman sekarang, tidak.”(Program tv saluran ‘art’ pada tahun 04.07.1418H. Nukilan daripada مخالفات د. يوسف القرضاوي oleh Abdul Rahman bin Sa’ad Al-Syitri)
Sesungguhnya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam adalah teladan kita dan Baginda tidak pernah melantik wanita untuk memimpin kaum lelaki. Adakah ini menunjukkan bahawa Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam juga termasuk dalam kaum lelaki yang memerintah secara paksa? Wallahul musta’an.
3. Sabda Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam:
” ما رَأَيْتُ مِنْ نَاقِصَاتِ عَقْلٍ وَدِينٍ أَسْلَبَ لِلُبِّ الرَّجُلَ الحَازِمُ مِنْ إحْدَاكُنَّ “
(Aku tidak pernah melihat wanita yang kurang akal dan agama yang lebih mampu menghilangkan kewarasan seorang lelaki daripada salah seorang kamu) (Bukhari dan Muslim).Berkata Al-Qaradawi, “Hal ini dinyatakan oleh Rasulullah secara berseloroh.”
(Program tv saluran ‘art’ pada tahun 04.07.1418H. Nukilan daripada مخالفات د. يوسف القرضاوي oleh Abdul Rahman bin Sa’ad Al-Syitri)
Kenyataan ini jelas boleh mengundang persepsi yang tidak baik terhadap Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Seolah-olah kenyataan Baginda itu tidak dimaksudkan. Dengan erti kata lain, adakalanya Baginda mengatakan suatu yang tidak benar semata-mata kerana bergurau-senda dengan wanita. Nau’zubillah.
4. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam:
“لا يُقْتَلُ مُسْلِمٌ بِكَافِرٍ “
(Seorang Muslim tidak akan dibunuh kerana seorang kafir) (Bukhari).
Berkata Dr. Al-Qaradawi setelah menetapkan bahawa seorang Muslim boleh dibalas bunuh kerana membunuh orang kafir (bercanggah dengan hadis), “Pendapat inilah yang tidak patut buat zaman kita melainkannya (iaitu orang Islam akan dibalas bunuh sekiranya membunuh seorang kafir- pen.)… dengan memilih pendapat ini kita membatalkan segala alasan dan kita mengangkat sepanduk Syariah kita yang agong.”
(الشيخ الغزالي كما عرفته hlm. 168)Sungguh mengelirukan. Adakah dengan kita menolak Hadis yang jelas lagi muhkam (yang tidak dinasakhkan) kita akan mengangkat kedudukan Syariah Islam?
KEEMPAT: PENDAPAT BELIAU TENTANG WANITA
1. Beliau sedaya upaya berusaha menghapuskan hijab yang ada antara kaum lelaki dan wanita. Beliau berulang kali menegaskan bahawa pemisahan antara kaum lelaki dan wanita di dalam kuliah adalah bid’ah kerana ia bukan dariapada Budaya Islam. (الاسلام والعلمانية hlm. 39)
2. Beliau berkata, “Dukacitanya, sejak tahun tujuh puluhan saya ke Amerika untuk menghadiri seminar-seminar Islam tetapi (saya dapati bahawa) dalam seminar-seminar ini diasingkan hadirin wanita di satu sudut dan lelaki di satu sudut. Sikap keras sebegini telah menyelubungi masyarakat (Islam) di sana. Mereka memaksa budaya-budaya ini ke atas masyarakat Barat di sana di mana mereka mengambil pendapat yang keras dan meninggalkan pendapat yang lebih kuat. Hasilnya, lelaki ditempatkan di suatu tempat yang khas buat mereka yang terpisah dari wanita.” (أولويات الحركة الاسلامية hlm. 65)
Sedangkan inilah tuntutan Syarak supaya tidak berlaku percampuran bebas antara lelaki dan wanita bagi mencegah segala unsur-unsur yang boleh membawa kepada zina. Oleh itu, Al-Quran menyarankan supaya wanita tetap di rumah mereka dan tidak keluar secara tabarruj (Al-Ahzab, 33). Bahkan dalam solat pun sekiranya mereka (wanita) hadir ke masjid, mereka dituntut supaya mendapatkan saf yang terakhir berbanding lelaki yang dituntut supaya berlumba-lumba mendapatkan saf yang pertama sebagaimana Sabdanya, “Sebaik-baik saf lelaki adalah yang pertama dan seburuk-buruknya adalah yang terakhir dan sebaik-baik saf perempuan adalah yang terakhir dan seburuk-buruknya adalah yang pertama” (Muslim).
Daripada hadis di atas, dapat kita lihat bagaimana Syarak menuntut supaya diasingkan antara lelaki dan wanita walaupun ketika berada di sebaik-baik tempat iaitu masjid yang secara lazimnya mereka yang mengunjunginya kebanyakan niat mereka adalah baik-baik belaka semata-mata untuk beribadah kepada Allah. Tetapi walau sebaik macam manapun, Syarak tetap menuntut supaya diasingkan antara kedua jantina ketika di masjid. Bagaimana pula kalau di tempat lain yang pengunjungnya tidaklah sebaik mereka yang di masjid? Tentu sahaja kita perlu lebih berhati-hati.
3. Beliau selanjutnya berkata, “Sedangkan seminar-seminar seperti ini menjadi peluang untuk para pemuda melihat para pemudi yang boleh manarik minatnya serta berkenalan dengannya. Sekiranya Allah membuka hati kedua mereka akhirnya akan terhasillah sebuah keluarga Islam.”
(برنامج الشريعة والحياة: حلقة بعنوان تحديات المرأة المسلمة في الغرب . http://www.qaradawi.net)
Bukankah saranan sebegini akan membuka ruang kepada maksiat? Sebagaimana syair Arab mengatakan bahawa, “Zina bermula dengan pandangan lalu senyuman, memberi salam, berbual, bertemu janji dan akhirnya pertemuan antara kedua lelaki dan perempuan itu.”
4. Dalam program sama yang membincangkan tentang topik wanita di mana pengacaranya seorang lelaki, beliau berkata, “Adakah tempatmu di sini? Sewajarnya tempatmu diambil oleh seorang wanita kerana topik ini khas buat mereka. Dialah yang sewajarnya mengacarakan program ini serta mengajukan soalan. Di sini dapatlah kita melatih mereka dengan sifat kepimpinan. Malangnya, terdapat kawalan yang berterusan daripada lelaki ke atas wanita sehingga di dalam urusan mereka (wanita)” (ibid).
5. Wanita yang berhijab menurut beliau perlu keluar di kaca tv dan turut serta dalam lakonan dan teater (مجلة المجتمع bil. 1319, hlm. 44).
6. Beliau menegaskan bahawa beliau sekadar mengajak kepada percampuran lelaki dan perempuan yang berpada (ملامح المجتمع الاسلامي hlm. 369).
KELIMA: PENDAPAT BELIAU TENTANG HIBURAN
1. Beliau di antara golongan Agama yang terkenal mengajak kepada nyanyian dan hiburan (الحلال والحرام hlm. 262).
2. Dalam banyak penulisannya, ditegaskan bahawa nyanyian dibolehkan manakala panggung wayang adalah halal lagi bagus (الحلال والحرام hlm. 267).
Malah beliau mengkritik golongan seni yang meninggalkan bidang seni.
(Nukilan daripada مخالفات د. يوسف القرضاوي oleh Abdul Rahman bin Sa’ad Al-Syitri).
3. Beliau menyebutkan tentang minat beliau terhadap nyanyian ‘Faizah Ahmad’, ‘Syadiah’, ‘Umm Khalthum’, ‘Fairuz’ dan penyanyi-penyanyi wanita yang lain yang terkenal di Mesir (مجلة الراية bil. 5969 bertarikh 19.05.1419H).
4. Beliau juga mengikuti perkembangan filem-filem, lakonan-lakonan bersiri dan pementasan teater kerana menurut beliau, dibolehkan melihat wanita yang terpapar di kaca tv.
(مجلة سيدتي bertarikh 11.03.1994. Nukilan: رفع اللثام عن مخالفة القرضاوي لشريعة الاسلام oleh Ahmad Al’Adini, hlm. 176)
KEENAM: PENDAPAT-PENDAPAT BELIAU DALAM PERMASALAHAN FEKAH
1. Dibolehkan untuk pemerintah menghapuskan hukuman rejam yang menurut beliau adalah ta’zir (hukuman bagi kesalahan yang tidak ditetapkan oleh Syarak) sekiranya ada maslahat (حاشية القرضاوي على فتاوى الشيخ مصطفى الزرقا hlm. 394).
Walhal Hadis menyatakan, “Lelaki tua dan perempuan tua yang berzina, maka rejamlah kedua-duanya sebagai balasan daripada hukuman Allah.” (Bukhari dan Muslim).
2. Terdapat dua jenis murtad: Murtad berat yang pelakunya menjadi murtad sekiranya melakukan keganasan terhadap masyarakat; dan murtad ringan yang selain daripada itu. Bagi yang pertama pelakunya dibunuh manakala yang kedua dibiarkan.
(الخصائص العامة للاسلام hlm. 240)
Kenyataan ini menyalahi Hadis, “Barangsiapa menukar Agamanya maka bunuhlah dia” (Bukhari).
3. Dibolehkan bagi wanita menjadi pemerintah yang tertinggi.
(الاسلام والعلمانية hlm. 39)
Sedangkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah memberi amaran dalam sabdanya, “Tidak akan berjaya kaum yang menjaga hal-ehwal mereka wanita” (Bukhari).
4. Sekiranya seorang wanita itu turut serta dalam urusan jual-beli atau dalam urusan-urusan yang lain, maka kesaksiannya sama seperti kesaksian kaum lelaki.
Ini bercanggah dengan Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, ayat 282.
5. Dibolehkan mencukur janggut (الحلال والحرام hlm. 87).
Walhal Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Selisihilah orang-orang musyrikin, potonglah misai dan peliharalah janggut” (Bukhari dan Muslim).
6. Dibolehkan riba yang sedikit dengan nisbah 1% atau 2% sebagai upah perkhidmatan.
Sedangkan Allah berFirman, “Dan Allah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba” (Al-Baqarah, 2: 275).
Di samping itu, beliau membolehkan isbal (melabuhkan pakaian melebihi buku lali bagi lelaki) (الصحوة الاسلامية بين الجحود والتطرف hlm. 156), wanita keluar rumah dengan segala perhiasannya, mengambil gambar, berlakon (مجلة المجتمع bil. 1319), menjual arak dan babi kepada orang kafir (مجلة المجتمع bil. 1261 bertarikh 05.08.1997. Nukilan daripada رفع اللثام عن مخالفة القرضاوي لشريعة الاسلام oleh Ahmad Al’Adini, hlm. 177), memindahkan organ/tisu babi untuk kegunaan orang Islam, berjabat tangan dengan wanita (فتاوى معاصرة 2/293), memakai pakaian serupa dengan orang kafir, memakan daging haiwan yang dibunuh dengan renjatan elektrik (الحلال والحرام hlm. 60), wanita bermusafir atau keluar belajar tanpa mahram dan banyak lagi. Wallahul musta’an.
KETUJUH: FATWA PARA ULAMA TERHADAP DR. YOUSUF AL-QARADAWI
1. FATWA IMAM ABDUL AZIZ BIN ABDULLAH BIN BAZ RAHIMAHULLAH
Ketika ditanya tentang fatwa Dr. Yousuf Al-Qaradawi dalam Majalah Al-Mujtamak yang menyatakan bahawa harus bagi wanita menonjolkan diri di kaca tv, beliau berkata:
“Golongan wanita tidak boleh menonjolkan diri sama ada di kaca tv ataupun selainnya. Sebaliknya hendaklah mereka berhijab serta melindungi diri mereka. Dalam masa yang sama manusia tidak boleh mentaati sesiapa jua di dalam hal-hal kemaksiatan sama ada Al-Qaradawi atau selain daripada beliau. Ketaatan hanya boleh dalam perkara-perkara yang ‘makruf’ (baik) sahaja. Firman Allah, “Dan apabila kamu meminta sesuatu daripada mereka (isteri-isteri Nabi) maka mintalah daripada sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci buat hati kamu dan hati mereka” (Al-Ahzaab, 53). Firman Allah, “Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka…” (Al-Nuur, 31). Wajah dan kepala pula adalah anggota badan yang paling cantik. Maka, kita perlu berhati-hati daripada kesilapan-kesilapan para ulama dan kesalahan mereka.”
(Kaset Audio ‘Himpunan Kata-Kata Para Ulama dan Masyaikh Tentang Yusof Al-Qaradawi).
2. FATWA IMAM MUHAMMAD NASIRUDDIN AL-ALBANI RAHIMAHULLAH
“Al-Qaradawi pengajiannya mengikut metod Al-Azhar. Pengajian beliau bukan mengikut metod Al-Quran dan Sunnah. Banyak fatwa beliau bercanggah dengan Syarak. Terdapat satu kaedah yang sangat merbahaya yang beliau gunakan. Sekiranya sesuatu perkara itu diharamkan Syarak, beliau akan mengatakan bahawa tidak ada nas muktamad (نص قاطع) yang mengharamkannya. Ini menyebabkan beliau mengharuskan nyanyian dan mengharuskan kepada si penyanyi Inggeris yang terkenal di England yang memeluk Islam untuk meneruskan kerjaya nyanyiannya serta makan daripada hasilnya. Al-Qaradawi mendakwa bahawa tidak ada nas muktamad yang mengharamkan nyanyian dan alat muzik. Ini berbeza dengan apa yang disepakati (ijmak) oleh para Ulama Islam bahawa hukum-hakam Syarak tidak perlu kepada nas yang muktamad (نص قاطع). Buktinya adalah mereka termasuk Al-Qaradawi sendiri berpegang kepada Al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas. Qiyas bukan dalil yang muktamad kerana ia adalah ijtihad dan ijtihad boleh jadi salah atau betul seperti yang dijelaskan di dalam Hadis. Tetapi beliau membawa alasan bahawa tidak ada dalil yang muktamad semata-mata untuk mengelak daripada hukum haram serta melepaskan diri daripada banyak hukum Syarak.”
Lalu ketika ditanya tentang Al-Qaradawi yang mewajibkan zakat pendapatan gaji bulanan, Imam Al-Albani berkata:
“Elakkan pandanganmu daripada Al-Qaradawi dan tinggalkan dia… ini berbeza dengan apa yang kita ucapkan tadi. Sekiranya ada pengharaman dia berkata tidak ada nas yang muktamad. Adapun di sini tidak ada nas yang muktamad mahupun yang tidak muktamad (نص ظني). Ia hanya pendapat akal semata-mata. Nas-nas secara jelas menyatakan bahawa tidak wajib zakat kecuali dengan dua syarat; cukup haul (tempoh setahun) dan cukup nisaab (kiraannya). (Tetapi) beliau secara ijtihad menyatakan bahawa diwajibkan zakat ke atas pendapatan gaji yang diterima secara bulanan. Apa dalilnya? (Beliau) meletakkan kaedah ‘untuk menjaga maslahat orang miskin’. Hakikatnya ini bukan kaedah Syarak tetapi kaedah komunis. Ini kerana tidaklah fahaman komunis diwujudkan melainkan untuk menjaga maslahat orang miskin dengan menentang orang kaya. Berbeza dengan Syarak ia menjaga masalahat kedua-dua belah pihak orang miskin dan kaya.”
(Kaset Audio Silsilah Al-Huda Wa Al-Nur no. 362).
2. FATWA IMAM MUHAMMAD BIN SALEH AL-UTHAIMIN RAHIMAHULLAH
Ketika ditanya tentang ucapan Dr. Yousuf Al-Qaradawi yang menyatakan bahawa, “Hadirin yang dikasihi sekalian, sebelum saya mengakhiri ucapan saya. Saya ingin menyebutkan tentang pilihanraya Israel. Orang arab pada mulanya meletakkan harapan mereka supaya (Shimon) Peres menang tetapi sekarang beliau telah kalah. Walaubagaimanapun, apa yang kita bangga tentang Israel dan kita harapkan supaya negara kita pun menjadi sepertinya adalah seseorang itu tidak akan jatuh kerana sekumpulan individu (sebaliknya) rakyatlah yang menentukan. Tidak ada istilah (kemenangan) 99.99% atau 99.999% sebagaimana yang berlaku di negara kita (merujuk kepada pemimpin negara-negara arab yang menang dalam setiap kali pilihanraya). Apa ini? Sekiranya Allah menyertai pilihanraya pun Dia tidak akan memperoleh nisbah yang sebegini. Jelas ini diperolehi dengan penipuan, tipu daya dan muslihat. Oleh itu, kita mengalu-alukan usaha Israel dalam hal ini.”
Imam Al-Uthaimin menjawab: “A’uzu billah. Orang ini perlu bertaubat sekiranya tidak, dia akan dihukum bunuh kerana murtad. Ini kerana dia menjadikan manusia lebih baik daripada Allah. Oleh itu, hendaklah dia bertaubat. Sekiranya dia bertaubat, Allah akan menerima taubat hambanya. Jika tidak, wajiblah atas pemerintah untuk memenggal kepalanya.”
(Kaset Audio ‘Himpunan Kata-Kata Para Ulama dan Masyaikh Tentang Yusof Al-Qaradawi. Juga boleh dilihat di sini ).
وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم
Kajang, 10.07. 2012Idrissulaiman@yahoo.com