BAHAYA MENGKAFIRKAN SESAMA UMAT ISLAM
Abu
Omar, Idris bin Sulaiman
Sifat Iman dan takwa sewajarnya membuatkan seorang individu Muslim itu
tidak terburu-buru di dalam masalah mengkafirkan individu Muslim yang lain. Ini
kerana implikasinya yang sangat besar dan berat terhadap kedua tertuduh dan
yang menuduh.
IMPLIKASI TAKFIR
Bagi TERTUDUH yang dihukum kafir; sekiranya benar dia telah
kafir maka Umat Islam yang lain wajib melaknatnya, membencinya, menganggap
hatinya terkunci, amalannya tergugur, kehinaan telah menimpanya, dia tidak akan
diampunkan dan akan kekal dalam Api Neraka selama-lamanya bersama dengan
orang-orang kafir yang lain.
Di samping itu, dia wajib dipisahkan daripada isterinya yang Muslimah, dihukum bunuh kerana murtad,
hartanya tidak akan diwarisi keluarganya yang Islam, jenazahnya tidak akan
disolatkan dan dia tidak akan dikuburkan di perkuburan orang Islam.
Adapun implikasinya terhadap yang MENUDUH
sekiranya tuduhannya tidak benar;
tuduhan kafir itu akan terpacul
semula kepadanya.
Sabda Nabi r:
﴿
أَيَّمَا رَجُلٍ قَالَ لأخِيهِ : يا كَافِر، فَقَدْ
بَاءَ بِهَا أحَدَهُمَا إنْ كَانَ كَمَا قَالَ ، وَإلا رَجَعَتْ عَلَيْهِ ﴾
“Barangsiapa berkata
kepada saudaranya ‘Wahai kafir’, maka pengkafiran itu akan kembali kepada salah
seorang daripada mereka;
sama ada ungkapan itu benar atau ia akan kembali kepadanya.[1]
Sabda Nabi r:
﴿ لا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلا بِالفُسُوقِ
، وَلا يَرْمِيهِ بِالكُفْرِ إلا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ ، إنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ
كَذَلِكَ ﴾
“Tidaklah seseorang itu
menuduh seorang yang lain sebagai fasik atau mengkafirkannya melainkan ia akan
terpacul semula kepadanya sekiranya saudaranya tidak sebegitu.”[2]
Demi menjaga maruah
sesama saudara seIslam, memelihara kesatuan Umat serta mengelak daripada
berlakunya fitnah tuduh menuduh, Syariat Islam sangat bertegas dalam masalah
mengkafirkan seseorang Muslim.
Hukuman kafir tidak boleh
diambil mudah apatah lagi dilakukan secara terburu-buru, mengikut emosi, kerana
perbezaan pendapat, pandangan politik dan seumpamanya.
Sabda Nabi r:
﴿ مَنْ حَلَفَ بِمِلَّةِ غَيْرِ
الاسْلامِ كَاذِبًا فَهُوَ كَمَا قَالَ ، وَمَنْ قَتَلَ نَفْسَهُ بِشَيْءٍ عُذِّبَ
بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ ، وَلَعْنُ المُؤمِنِ كَقَتْلِهِ ، وَمَنْ رَمَى
مُؤْمِنًا بِكُفْرٍ فَهُوَ كَقَتْلِهِ ﴾
“Barangsiapa bersumpah dengan selain Islam (dengan
tujuan) untuk berbohong (dalam sumpah itu) maka dia adalah seperti itu
(terkeluar daripada Islam) dan barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu
(alat) itu maka dia akan diseksa dalam Api Neraka dengan (alat) itu juga;
mencela orang yang beriman adalah umpama membunuhnya sebagaimana menuduh orang
yang beriman sebagai kafir juga adalah umpama membunuhnya.[3]
PENJELASAN
PARA ULAMA TENTANG TAKFIR
Berkata Imam Al-Ghazali, “Apa yang wajar dihindari adalah
perbuatan mengkafirkan orang lain sedaya yang mungkin. Ini kerana perbuatan
menghalalkan darah dan harta orang yang solat mengadap kiblat yang secara jelas
mengucapkan ‘La ilaha illa Allah, Muhammad Rasulullah’ adalah satu
kesalahan. Dan kesalahan membiarkan seribu orang kafir hidup jauh lebih mudah
daripada menumpahkan darah seorang
Muslim.”[4]
Berkata Ibnu Abi Al-Izz Al-Hanafi, “Adalah sangat melampau untuk
bersaksi ke atas seorang individu bahawa
Allah tidak akan mengampuninya mahupun merahmatinya, dan Allah akan
mengekalkannya terus dalam Api Neraka. Ini kerana hukuman ini khas buat orang
kafir sahaja sesudah dia mati.”[5]
Berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah, “Tidak patut bagi seseorang untuk
mengkafirkan orang Islam yang lain walaupun setelah dia melakukan kesalahan dan
kesilapan melainkan dengan menegakkan hujjah terhadapnya terlebih dahulu serta
memberi penjelasan kepadanya. Barangsiapa yang telah masuk Islam secara pasti,
keIslamannya sama sekali tidak boleh ditarik balik dengan suatu yang diragui.
KeIslamannya hanya akan gugur setelah hujjah ditegakkan dan syubhat
dihapuskan.”[6]
Berkata Imam Al-Syaukani, “Ketahuilah bahawa seseorang Muslim
itu tidak patut menghukum seseorang
Muslim yang lain sebagai terkeluar daripada Islam dan menjadi kafir melainkan
dengan dalil jelas yang lebih jelas daripada matahari.”[7]
MENEGAKKAN
HUJJAH
Syarak menuntut supaya
kita yakin dan pasti ketika menjatuhkan apa jua hukum. Sama sekali tidak boleh
bertindak atas prasangka dan tanggapan semata-mata tanpa mendapat kepastian
terlebih dahulu. Apatah lagi di dalam masalah yang berat seperti mengkafirkan
orang.
Firman Allah I:
وَمَا كُنَّا مُعَذِّبِينَ حَتَّىٰ نَبْعَثَ رَسُولًا
“Dan tiadalah
Kami (akan) mengazabkan sesiapapun melainkan setelah Kami mengutuskan seorang
rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah agar hujjah dapat
ditegakkan).”[8]
Firman Allah I:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan sangkaan
kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.”
Oleh itu, demi memperoleh
keyakinan dan memastikan keadilan, hujjah perlu ditegakkan dan penjelasan perlu
diberikan ke atas seseorang yang melakukan perbuatan yang jelas boleh
membuatkannya jatuh kafir.
Tiga syarat perlu
dipastikan terlebih dahulu pada orang tersebut:
1. Orang itu TAHU dan bukan JAHIL bahawa
perbuatannya itu kufur;
2. Dia SEDAR dan bukan TIDAK SEDAR;
3. Dia RELA dan bukan TERPAKSA.
Dalil Syarat Pertama: Sabda Nabi r, “Seorang lelaki yang telah lalai selama hidupnya[9]ketika sedang nazak dia berkata kepada anak-anaknya, “Setelah aku mati nanti
bakarlah jasadku, setelah itu hancur lumatkan jasadku dan lemparkan debunya ke
udara. Demi Allah, sekiranya aku berdepan dengan Allah nanti aku akan diseksa
dengan azab yang tidak terperi sakitnya.” Setelah dia mati, wasiatnya pun
ditunaikan. Allah memerintahkan bumi menghimpunkannya semula dan tatkala lelaki
itu dibawa ke hadapanNya, Allah bertanya kepadanya: Mengapa engkau berwasiat
sedemikian? Jawabnya, “Kerana takut terhadapMu.” Maka Allah mengampuninya.[10]
Tanggapan bahawa Allah tidak akan
mampu menghidupkan semula jasad yang telah dibakar dan ditebarkan ke udara
setelah dihancur-lumatkan jelas kufur. Lelaki itu beranggapan sebegitu kerana
dia jahil tetapi dalam masa yang sama dia beriman dengan Allah. Bahkan
perasaan takutnya terhadap seksaan Allah lah yang telah membuatnya bertindak
sedemikian. Atas sebab itu Allah mengampuninya.
Dalil Syarat Kedua: Kisah seorang
lelaki yang keseorangan ketika dia kehilangan haiwan tunggangannya yang membawa
makan minumnya di tengah padang pasir. Setelah berputus asa mencarinya dia
baring terlelap di bawah teduhan sebuah pokoh. Dan tatkala dia bangun dia
mendapati tunggangannya berdiri dihadapannya. Akibat terlalu gembira dia
berkata, “Ya Allah! Engkau hambaku dan aku tuhanmu!”[11]
Kata-kata
kufur ini sebagaimana dijelaskan oleh Nabi r dimaafkan
kerana ia dituturkan tanpa disedari oleh lelaki itu di kala dia terlalu gembira
bertemu semula dengan tunggangannya.
Dalil
Syarat Ketiga: Firman
Allah I:
مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ
إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَـٰكِن مَّن شَرَحَ
بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ
عَظِيمٌ
“Sesiapa yang kufur
terhadap Allah sesudah dia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab daripada
Allah), kecuali mereka yang dipaksa (melakukan kufur) sedangkan hatinya
tenang tenteram dengan iman.”[12]
Perlu difahami bahawa tertegaknya
hujah bukan hanya dengan menyampaikan
hujah dan dalil semata-mata tetapi hendaklah dalam masa yang sama dipastikan
bahawa individu itu memahami hujah dan dalil yang disampaikan itu.
Berkata Ibnu Taimiyah r.h.,
"Begitulah halnya dengan kata-kata yang membawa kepada kekufuran.
Barangkali individu yang mengucapnya tidak tahu itu adalah kufur. Barangkali
penjelasan telahpun diberikan kepadanya tetapi masih belum dapat
meyakinkannya atau dia tidak memahami penjelasan itu. Barangkali
individu itu juga masih mempunyai syubhat-syubhat yang belum terjawab
yang boleh dimaafkan oleh Allah."[13]
MENGKAFIRKAN SESEBUAH MASYARAKAT
ISLAM SECARA UMUM
Sekiranya
Syarak menetapkan bahawa hujjah perlu ditegakkan terlebih dahulu sebelum
hukuman kafir dapat dijatuhkan ke atas seseorang individu Muslim, maka jelaslah
bahawa perbuatan mengkafirkan sesebuah kelompok masyarakat Islam secara pukul
rata tanpa mengira sama ada:
1. Mereka
jahil atau berilmu;
2. Mereka
sedar atau tidak sedar;
3. Mereka
terpaksa atau rela;
adalah
salah dan menyimpang daripada fahaman Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah.
Ini berdasarkan kepada perinsip dan dasar Ahli Sunnah Wal Jamaah yang
membezakan antara:
1. Pelaku
Perbuatan Kufur, dan;
2. Perbuatan
Kufur itu sendiri.
Perbuatan kufur yang dilakukan TIDAK SEMESTINYA BERERTI PELAKUNYA TELAH
JATUH KAFIR TERKELUAR DARIPADA ISLAM kecuali setelah ditegakkan hujjah
terhadapnya.
وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى
آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم
Kajang,
24 Mac 2012
Idrissulaiman@yahoo.com