LARANGAN TINGGAL DI NEGARA KAFIR
Abu Omar, Idris bin Sulaiman
Kewajipan Wala' dan Bara'
atas setiap seorang Mukmin menuntutnya untuk menyintai Agama Islam dan
orang-orang Islam di samping benci kepada semua agama kufur dan golongan yang
dimurkai Allah. Inilah perasaan yang perlu ada pada setiap orang yang beriman.
Tanpa perasaan ini akan goyahlah Iman seseorang itu kalau bukan lenyap sama
sekali.
Dasar Wala' dan Bara' bermula
di hati sebelum dizahirkan pada anggota. Oleh itu tidak ada percanggahan antara
tuntutan Wala' dan Bara' dengan sikap dan akhlak baik yang harus
ditunjukkan ketika berurusan dengan orang kafir. Ini kerana sikap dan akhlak
baik yang dizahirkan itu adalah pada anggota. Adapun perasaan benci terhadap agama kufur akan terus tetap di hati.
Harus difahami bahawa sikap dan akhlak baik yang dizahirkan ketika bermuamalah
dengan orang kafir tidak lahir daripada perasaan cinta dan sayang terhadap
mereka. Masakan boleh ada perasaan cinta dan sayang terhadap golongan yang
dimurkai oleh Allah atas perbuatan mereka menyekutukan Allah dengan
sembahan-sembahan selain daripadaNya. Sebaliknya, tidaklah sikap dan akhlak
baik yang ditunjukkan itu melainkan untuk menarik mereka kepada Islam, melihat
keindahan Islam dan akhirnya memeluk
Agama Islam itu sendiri. Maka ia adalah satu cara dakwah, tidak lebih daripada
itu.
Bertitik tolak daripada prinsip Wala'
dan Bara', Umat Islam disyariatkan berhijrah dari negara kafir ke Negara
Islam untuk tinggal bersama-sama dengan saudara seIslam yang lain,
tolong-menolong dan bantu-membantu demi memartabatkan Islam dan Umatnya. Ini
menjadi kewajipan setiap seorang Muslim bertepatan dengan firman Allah,
"Dan tolong-menolonglah dalam kebaikan dan ketakwaan dan jangan
bersekongkol dalam perkara-perkara dosa dan permusuhan" (Al-Ma'idah,
ayat 2).
Maka sebaliknya adalah haram dan berdosa
iaitu untuk tinggal di negara kafir,
menetap bersama-sama dengan golongan kuffar, berdamping dengan mereka
serta bekerjasama dengan mereka. Perbuatan ini jelas termasuk dalam ayat di
atas yang melarang Umat Islam daripada bersekongkol dalam perkara-perkara dosa
dan permusuhan. Ini kerana perbuatan sedemikian sama ada secara langsung atau
tidak jelas menambahkan bilangan orang kafir serta memberi kekuatan kepada
mereka ke atas Agama Islam dan orang-orang Islam. Adapun perbuatan menukar
kerakyatan daripada Negara Islam kepada bukan Islam, maka itu adalah Wala'
(sokongan) dalam bentuk yang paling tinggi buat orang kafir yang bercanggah
sama sekali dengan Syariat Islam.
Allah I telah memberi
amaran terhadap mereka yang enggan berhijrah daripada negara kafir ke Negara
Islam dalam firmanNya:
إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ
ظَالِمِي أَنفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنتُمْ ۖ قَالُوا
كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ
تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ
فَأُولَـٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ
مَصِيرًا
)Sesungguhnya
orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat sedangkan mereka telah
menganiaya diri mereka sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan
rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat,
"Apakah yang kamu telah lakukan untuk Agama kamu?" Mereka menjawab,
"Kami dahulu adalah orang-orang yang ditindas di bumi." Malaikat
bertanya lagi, "Tidakkah bumi Allah itu luas untuk kamu berhijrah dengan
bebas di atasnya?" Maka orang-orang yang sedemikian, tempat akhir mereka
ialah Neraka Jahanam, dan Neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat
kembali" (Al-Nisaa', ayat 97).
Ayat di atas merujuk kepada orang-orang kafir
yang memeluk Islam di mana mereka dituntut supaya meninggalkan negara kafir dan
berhijrah ke Negara Islam sebagai bukti keImanan mereka dan petanda bahawa
mereka benar-benar telah meninggalkan agama kufur mereka dan memeluk Islam
secara total rohani dan jasmani. Ini bagi mereka yang memeluk Islam di negara
kafir di mana mereka dilarang daripada terus menetap di negara kafir.
Adapun orang Islam yang ingin berhijrah ke
negara kafir jelas itu lebih dilarang. Kerana perbuatan sedemikian bertentangan
sama sekali dengan pengertian Hijrah itu sendiri. Daripada mereka terus tetap
di Negara Islam, mereka bukan sahaja keluar daripadanya bahkan mereka keluar
dan masuk ke negara kafir. Dikhuatiri perbuatan zahir mereka akan turut memberi
kesan dalam jiwa mereka di mana ia keluar daripada Islam dan masuk ke dalam
kufur. Nau'zubillah.
Rasulullah r telah memberi
amaran kepada Umatnya supaya tidak tinggal bersama-sama dengan orang kafir yang
menjadi musuh Allah dalam sabdanya:
﴿أَنَا بَرِيءٌ مِنْ كُلِّ مُسْلِمٍ
مُقِيمٍ بَيْنَ أَظْهُرِ الْمُشْرِكِينَ ﴾
(Aku berlepas diri daripada semua orang Islam yang tinggal
bersama-sama dengan orang-orang musyrikin) (Hadis Sahih. Riwayat Abu Daud
dan Tirmizi).
Dalam
hadis lain Baginda r bersabda:
﴿مَنْ جَامَعَ المُشْرِكَ وَسَكَنَ
مَعَهُ، فَإنَّهُ مِثْلَهُ ﴾
(Barangsiapa yang berdamping dengan orang musyrik dan tinggal
bersamanya maka dia adalah sepertinya) (Hadis Hasan. Riwayat Abu Daud).
Hikmah di sebalik larangan tinggal di negara kafir cukup jelas. Ia
kembali kepada Kaedah Syarak 'Apa yang Membawa kepada yang Haram Maka ia Adalah
Haram'. Maka bukan sahaja ia bercanggah dengan dasar dan prinsip Wala'
dan Bara', ia juga boleh merosakkan Akidah, Ibadah, Akhlak dan tingkah
laku.
Hal ini kembali kepada hakikat bahawa manusia mudah terpengaruh
dengan persekitarannya. Sekiranya persekitarannya baik maka baiklah dia, dan
sekiranya buruk maka buruklah dia.
Sains perubatan telah membuktikan bahawa kuman boleh berjangkit
daripada orang sakit kepada orang sihat. Oleh itu, lazimnya orang-orang sakit
akan dikuarintinkan bagi mengelak jangkitan. Maka mereka yang mengalami
penyakit berjangkit akan dilarang keluar daripada kawasan kuarintin manakala
mereka yang sihat pula dilarang daripada memasuki kawasan kuarintin itu. Ini
kerana telah terbukti bahawa seseorang yang memasuki kawasan yang ditimpa wabak
penyakit, berkemungkinan besar dia akan turut terkena jangkitan penyakit itu.
Sebenarnya sebelum dibuktikan dengan sains, Rasulullah r telahpun menyebutkan
tentang hal ini dalam sabda Baginda, "Sekiranya ia (penyakit taun) melanda
sesebuah tempat maka janganlah kamu pergi ke tempat itu dan sekiranya ia
melanda di tempat kamu maka janganlah kamu keluar (daripada tempat kamu kerana
ingin) menyelamatkan diri daripadanya" (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Ini adalah realiti penyakit yang berjangkit. Peliknya, manusia
lebih takut daripada jangkitan penyakit badan daripada penyakit hati yang
merosakkan Akidah, Ibadah dan Akhlak. Sedangkan Akidahlah yang akan menentukan
kebahagian seseorang itu di dunia sebelum di Akhirat.
Oleh itu, Syarak sangat menuntut supaya seseorang itu menjaga
persekitaran Agama dan Akhlaknya sebagaimana sabdanya r:
"Umpama seorang teman yang baik dan yang jahat adalah seperti
penjual minyak wangi dan tukang besi; adapun penjual minyak wangi, sama ada dia
akan menghadiahkan kepada kamu (minyak wangi itu), kamu membeli daripadanya
atau (setidak-tidaknya) kamu mendapati bau harum daripadanya; adapun tukang
besi, sama ada pakaian kamu akan terbakar atau (setidak-tidaknya) kamu akan
dapati bau busuk daripadanya" (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Perkara ini ditegaskan lagi dalam Hadis Nabi r:
"Jangan kamu berdamping kecuali dengan orang yang beriman dan
jangan pula ada yang menjamah makananmu kecuali mereka yang bertakwa" (Hadis
Hasan. Riwayat Tirmizi).
Lihat bagaimana Islam menekankan peri pentingnya menjaga
persekitaran. Ini semua kerana fitrah manusia yang mudah terpengaruh dengan apa
yang dilihat, didengar dan dibaca. Sekiranya persekitarannya dipenuhi dengan
Iman dan Amalan Soleh, dengan izin Allah dia juga akan turut begitu. Adapun
sekiranya persekitarannya dipenuhi dengan kekufuran dan kemaksiatan, besar
kemungkinan dia juga akan turut begitu.
Harus diingat, tabiat manusia suka mencari persekitaran yang digemarinya.
Sekiranya dia tergolong dalam golongan orang Islam yang berIman dan berTakwa,
dia pasti akan mencari persekitaran yang serupa. Dan tentunya persekitaran yang
seperti itu hanya akan di dapati di Negara Islam kerana tidaklah ia dinamakan
Islam melainkan kerana keIslaman, keImanan dan Ketakwaan yang ada di tempat
itu. Sebaliknya, sekiranya dia tergolong daripada kalangan mereka yang rosak
akidahnya, ibadah dan akhlaknya, pasti dia akan tertarik kepada golongan yang
seperti itu juga. Dan seburuk-buruk mereka adalah orang-orang kafir yang
melakukan sebesar-besar dosa dan kemaksiatan dengan menyekutukan Allah dengan
sembahan-sembahan yang lain.
Di mana lagi boleh di dapati persekitaran yang penuh dengan
kekufuran, kemaksiatan serta akhlak dan tingkah-laku yang buruk dan jelek kalau
bukan di negara-negara kafir. Di situlah adanya segala bentuk kekufuran dan segala
bentuk kemaksiatan daripada sekecil-kecilnya sehinggalah sebesar-besarnya.
Begitu juga dengan akhlak dan tingkah-laku masyarakatnya yang hampir-hampir
menjadi seperti haiwan yang hanya mencari kepuasan nafsu syahwat semata-mata
dengan zina, judi, minum arak dan sebagainya.
Atas sebab inilah Syarak mengharmkan orang Islam daripada menetap
di negara kafir. Begitu juga dengan pergi ke sana walaupun untuk tempoh yang
singkat kecuali sekiranya ada keperluan yang mendesak. Maka ia dibenarkan
dengan dua syarat:
- Individu itu perlu mempunyai benteng Ilmu Agama dan Ketakwaan yang mampu menjaga Agama dan tingkah-lakunya;
- Terdapat keperluan untuknya pergi ke sana seperti untuk
berdakwah, menjalani rawatan, berniaga atau belajar dalam jurusan yang
bermanfaat yang hanya terdapat di negara kafir. Adapun sekiranya sekadar untuk bersiar-siar,
ia jelas dilarang.
Terdapat golongan yang menafikan kewajipan berhijrah bagi membolehkan
perbuatan sebahagian Umat Islam yang bermusafir ke negara kafir sama ada untuk
sementara ataupun untuk terus tetap di sana. Mereka berhujjah dengan hadis
"Tidak ada Hijrah sesudah Al-Fath (Pembukaan Kota Mekah)" (Riwayat
Bukhari dan Muslim).
Harus difahami bahawa hijrah yang dinafikan dalam hadis di atas
adalah hijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Ini kerana sesudah pembukaan
Kota Mekah pada tahun 8 Hijrah ia telah bertukar daripada kota kafir menjadi
Kota Islam. Maka sesudah ia ditawan oleh Rasulullah r, sudah tidak ada keperluan lagi untuk mereka
yang memeluk Islam daripada kalangan penduduk Mekah untuk berhijrah ke Madinah
yang menjadi satu-satunya Negara Islam sebelum itu.
Oleh itu, larangan Umat Islam tinggal di negara kafir masih kekal
dan Umat Islam berkewajipan untuk berhijrah dan menetap di Negara Islam sebagaimana
sabdanya r, "Tidak akan
terhenti hijrah kecuali apabila pintu taubat tertutup; dan tidaklah pintu
taubat akan tertutup kecuali apabila matahari naik dari sebelah barat" (Hadis
Sahih. Riwayat Abu Daud).
وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى
آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم
Kajang, 14
Rajab 1433H (04 Jun 2012)
Idrissulaiman@yahoo.com