ADAB-ADAB
BERZIKIR
& HUKUM
MELAUNGKAN TAKBIR BERAMAI-RAMAI
Abu Omar, Idris bin Sulaiman
Di antara banyak
bentuk ibadah yang telah disyariatkan dalam Islam adalah ibadah berzikir
mengingati Allah dengan menyebut namaNya sebagaimana dalam firman Allah I:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا
اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
“Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah dengan
menyebut nama Alah sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzaab, 41).
Dalam masa yang
sama, harus diingat bahawa urusan Agama atau ibadah adalah tauqifiyyah yang
mana ia terikat dengan petunjuk dan garis panduan Syarak yang perlu dipatuhi
termasuklah dalam urusan berzikir.
ADAB-ADAB
BERZIKIR
Firman Allah I:
وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا
وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن
مِّنَ الْغَافِلِينَ
“Dan berzikirlah kepada Tuhanmu pada dirimu dengan
merendah diri serta dengan perasaan takut, dengan tidak menyaringkan suara,
pada waktu pagi dan petang, dan janganlah engkau tergolong di kalangan orang-orang
yang lalai” (Al-A’raaf, 205).
Dalam ayat di
atas, di samping mengandungi perintah supaya berzikir kepada Allah serta
larangan tergolong di kalangan orang lalai yang tidak mengingati Allah, ia
telah menghimpunkan beberapa adab yang perlu diamalkan ketika berzikir (Rujukan:
Mahasin Al-Takwil oleh Al-Qasimi).
Antara adab-adab
ini ialah:
Ucapan zikir hendaklah dengan suara perlahan berbisik.
Itu yang dimaksudkan dengan فِي نَفْسِكَ (pada dirimu) yang bererti jangan sampai
didengar oleh orang lain. Ini kerana cara ini lebih hampir kepada ikhlas, lebih
dekat dimakbulkan dan jauh daripada riyak.
Hendaklah dengan merendah diri, patuh dan taat serta
mengakui kelemahan diri agar dapat merealisasikan perhambaan diri kepada Allah
serta mengiktiraf kekuasan dan keagonganNya.
Zikir hendaklah dilakukan dengan perasaan takut atas
kekurangan diri, khuatir ibadah yang dilakukan akan tertolak dan tidak
diterima.
Hendaklah suara tidak dikeraskan atau dikuatkan supaya
dapat bertafakur serta menumpukan perhatian kepada zikir yang dibaca.
Berkata Ibnu
Kathir, “FirmanNya, وَدُونَ الجَهْر مِنَ القَوْل (Dengan tidak menyaringkan suara); beginilah zikir
sewajarnya dilakukan, bukan dengan cara memanggil, dengan suara kuat mahupun
keras” (Tafsir Ibnu Kathir, 3/544).
Hendaklah dengan ucapan lisan dan tidak sekadar dengan
bacaan hati. Sebagaimana yang dapat difahamai daripada firmanNya وَدُونَ الجَهْر (Dengan tidak nyaring).
Maknanya dengan bersuara tetapi tidak sampai didengar oleh orang lain.
Hasilanya, zikir yang diucap dengan lisan akan dapat dihayati dengan hati.
BERZIKIR HENDAKLAH
DILAKUKAN SECARA PERLAHAN
Sebagaimana firman Allah
dalam Surah Al-A’raaf, ayat 205:
وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا
وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن
مِّنَ الْغَافِلِينَ
“Dan berzikirlah serta
ingatlah akan Tuhanmu pada dirimu dengan merendah diri serta dengan persaan
takut, dan dengan tidak menyaringkan suara.”
Para ulama menyimpulkan
daripada ayat di atas bahawa berzikir secara perinsipnya hendaklah dilakukan
secara bersendirian dan secara sir (سِرْ)
iaitu perlahan tanpa menguatkan suara mahupun mengeraskannya.
Para ulama termasuk
Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah r.h. dalam Majmuk Fatawanya telah menyebutkan
tentang hikmah mengapa berzikir perlu dilakukan secara perlahan dan antara
lainnya adalah:
Ia lebih hampir kepada iman; kerana pelakunya mengetahui
bahawa Allah Maha Mendengar apa yang perlahan dan yang disembunyikan.
Ia lebih sopan dan beradab. Sekiranya manusia tidak
mengangkat suara ketika mengadap raja atau ketua negara, sewajarnya Allah lebih
layak untuk dihormati dan diagongkan.
Ia lebih kepada khusyuk dan tawaduk yang menjadi asas
penting dalam berzikir bahkan ia menjadi matlamat utamanya. Ini kerana zikir
orang yang khusyuk dan tawaduk adalah zikir yang datang daripada isi hati dalam
keadaan tunduk dan berharap.
Ia lebih kepada ikhlas dan jauh daripada sifat riyak
menunjuk-nunjuk amalan ibadah yang dilakukan.
Ia menunjukkan betapa hampirnya hamba itu dengan Allah I. Zikirnya bukan datang daripada orang yang menyeru dan
memanggil Tuhan yang jauh. Sebaliknya ia datang daripada seorang hamba yang
dapat merasakan betapa hampir Tuhannya di sisinya dengan pandangan dan
penglihatanNya. Sebab itulah dia
berzikir secara perlahan dan rahsia.
Ia akan dapat dilakukan secara berterusan kerana lidah
tidak akan jemu dan badan tidak akan merasa penat.
Orang yang berzikir secara perlahan akan terselamat
daripada gangguan dan halangan kerana dia tidak akan mengganggu sesiapa, dan
orang lain juga tidak akan terganggu dengannya. Akhirnya tidak ada sesiapa yang
menyedari zikirnya kecuali Allah I.
IBADAH ZIKIR TIDAK BOLEH
DILAKUKAN SECARA BERAMAI-RAMAI
Sebagaimana asal hukum
solat hendaklah dilakukan di rumah secara bersendirian kecuali yang mana yang
disyariatkan secara berjemaah, begitu jugalah dalam berzikir. Cuma bezanya,
dalam berzikir tidak ada pengecualian yang disyariatkan untuk dilakukan secara
berjemaah dan beramai-ramai.
Bahkan perbuatan
melakukan zikir secara beramai-ramai bercanggah dengan petunjuk dalil Al-Quran
dan Sunnah sebagaimana yang telah dinyatakan sebahagiannya dalam rencana ini.
Tidak ada satu pun dalil
yang menunjukkan bahawa Nabi r pernah melakukannya sama ada selepas solat atau
selainnya. Begitu juga dengan para Sahabat t dan generasi
Salaf Al-Soleh, termasuklah para Imam Muktabar seperti Imam Syafie rahimahullah.
Bahkan dalam satu athar
yang sahih daripada riwayat Al-Darimi, Abdullah bin Mas’ud t telah mengingkari satu majlis zikir di masjid kerana ia
dilakukan secara beramai-ramai di bawah seorang ketua.
HUKUM MELAUNGKAN TAKBIR
BERAMAI-RAMAI
Takbir yang dimaksudkan
di sini adalah laungan “Allahu Akbar” yang dilaungkan secara kuat dan
beramai-ramai ketika diarahkan oleh si ketua dengan ucapan ‘takbiiir!”. Ia kini
seolah-olah menjadi satu trend baru yang lazimnya dilakukan ketika dalam
ceramah atau perhimpunan yang berkait dengan Agama.
Sekiranya diamati, akan didapati bahawa perbuatan ini bercanggah dengan
Syarak. Ini kerana ucapan ‘Allahu Akbar’ adalah termasuk dalam ibadah zikir
yang terikat dengan garis panduan dan adab-adab berzikir yang telah ditetapkan
Syarak.
Percanggahan-percanggahan ini dapat dilihat daripada beberapa
sudut:
Ia dilaungkan secara kuat
dan beramai-ramai ketika diarahkan oleh si ketua walhal Syarak menetapkan bahwa
zikir hendaklah dilakukan dengan suara perlahan dan bersendirian tanpa arahan
sesiapa.
Cara seperti ini menyalahi matlamat utama berzikir yang bertujuan untuk
enimbulkan rasa rendah diri, patuh dan tunduk kepada suruhan Allah di samping
mewujudkan perasaan takut atas kekurangan diri serta merasai keagongan Allah
dan kehebatanNya.
Kebiasaannya mereka yang melaungkan takbir secara kuat apatah
lagi menjerit akan merasa diri kuat dan bertenaga jauh sekali daripada perasaan
takut. Bahkan kalau diamati, ia sememangnya bertujuan untuk menimbulakan
perasaan berani dan merasa diri hebat khususnya dalam ceramah atau perhimpunan
yang bertujuan untuk membantah atau mengkritik pihat-pihak tertentu. Hal ini
bercanggah dengan sifat orang mukmin, “Sesungguhnya orang yang beriman apabila
disebut nama Allah gementarlah hati mereka” (Al-Anfaal, 2) dan
firmanNya, “Orang-orang beriman tenang tenteram hati mereka dengan berzikir
kepada Allah” (Al-Ra’ad, 28). Bukan merasa gemuruh dan resah.
Perbuatan ini lebih hampir
kepada riyak serta menunjuk-nunjuk. Jika tidak, apa perlunya dilaungkan secara
kuat dan beramai-ramai. Kepada siapakah laungan ‘Allahu Akbar’ ditujukan?
Apakah ia bertujuan untuk menguatkan keyakinan bahawa ‘Allah itu Maha Besar’
atau terdapat tujuan lain di sebaliknya?
Apa yang pasti ia adalah
ibadah dalam bentuk gaya baru yang tidak ada contohnya daripada Rasulullah r, para Sahabat t dan generasi Salaf
Al-Soleh. Bahkan tidak ada seorang pun ulamak muktabar dahulu yang
menganjurkannya.
Dalam suatu peristiwa ketika Rasulullah r bersama para Sahabat dalam
perjalanan ke medan perang, mereka bertakbir secara kuat (ketika naik ke tempat
tinggi sebagaimana yang dianjur dalam Sunnah) lalu Baginda bersabda, “Wahai
manusia, berpadalah pada diri kamu, sungguh kamu tidak menyeru kepada Tuhan
yang pekak mahupun jauh; sebaliknya kamu berdoa kepada Tuhan yang Maha
Mendengar lagi Maha Melihat” (Bukhari dan Muslim).
Walaupun dalam keadaan bersemangat menuju ke medan perang
beramai-ramai bersama Rasulullah r, tetapi Baginda tetap menegur perbuatan mereka melaungkan takbir secara
kuat walaupun ia dilakukan secara berasingan dan secara individu, dan atas
sebab yang syarie. Bagaimana pula sekiranya takbir dilaungkan secara kuat dan
keras secara beramai-ramai tanpa sebarang sebab yang syarie?
Lebih buruk kalau ia dilakukan dalam ceramah politik yang
penuh dengan maki hamun mengajak kepada parti dan kumpulan masing-masing,
memecah-belahkan Umat Islam serta mengajak kepada revolusi menjatuhkan
pemerintah Islam. Jelas ia lebih tercela.
Kesimpulannya,
perbuatan melaungkan ‘Allahu Akbar’ secara beramai-ramai bercanggah dengan
Syarak dan termasuk dalam larangan Baginda r, “Barangsiapa melakukan suatu amalan yang tidak
ada perintahnya daripada kami maka ia adalah tertolak” (Bukhari
dan Muslim).
وَصلَّى الله عَلى
نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم
Kajang,
17.04.1434H / 27.02.2013
Idrissulaiman@yahoo.com
/ 012-3860471