AMBIL IKTIBAR DARI USAHA TUKAR PEMERINTAH
Ustaz Abu Omar Idris bin Sulaiman
Rentetan demi rentetan peristiwa pahit yang menimpa negara-negara Islam seharusnya menjadi iktibar bagi golongan Haraki yang menentang pemerintah secara khasnya dan Ahli Sunnah secara umumnya. Usaha menukar kerajaan oleh gerakan-gerakan Islam dengan menubuhkan parti dan menyertai demokrasi terbukti tidak akan membuahkan hasil yang baik. Mungkinkah demokrasi ciptaan Yahudi menjamin kejayaan kepada Islam? Akal yang sihat akan spontan menjawab tidak!
Islam tidak akan tertegak melalui jalan demokrasi kerana ia berasaskan majoriti dan kehendak rakyat. Ulama Yaman, Syaikh Muqbil Al-Wadi’i rahimahullah berkata, “Demokrasi bermakna rakyat menghukum dirinya dengan diri sendiri. Jika suara (majoriti) mengatakan homoseksual halal maka suara tersebut akan didahulukan daripada Al-Quran dan Al-Sunnah.” (Tuhfatul Mujib)